Friday, January 13, 2012

Ketua Balai Cemerlang Berpeluang Bertugas Di Hong Kong

Enam ketua balai dari 27 buah balai polis seluruh negara yang memenangi Anugerah Balai Polis Cemerlang Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) 2011 bagi kategori luar dan dalam bandar akan berpeluang bertugas di balai polis Hong Kong selama dua minggu.

Naib Pengerusi MCPF Datuk Kamaruddin Md Ali berkata mereka akan dihantar bagi menimba pengalaman di balai polis terpilih di Hong Kong sebagai insentif atas usaha mereka mengurangkan kadar jenayah di kawasan masing-masing.

Katanya semasa berada di Hong Kong nanti selain mengikuti lawatan sambil kerja, mereka juga berpeluang menjalani latihan dalam mempelajari kaedah-kaedah pencegahan jenayah yang sesuai untuk diguna pakai di negara ini kelak.

"Pada tahun 2009, MCPF telah menghantar lima ketua polis balai menjalani latihan dan pengalaman ke Melbourne, Australia," katanya selepas menilai Balai Polis Pasir Akar (gambar atas) di Hulu Besut, bersama rombongan panel hakim MCPF.

Hadir sama Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustafa, Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria dan Ketua Balai Polis Pasir Akar SM Manzolkipli Hassan.

Kamaruddin berkata dua balai polis di Terengganu terpilih mewakili negeri itu iaitu Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut bagi kategori Balai Polis Luar Bandar dan Balai Polis Cemerlang bandar ialah Balai Polis Cabang Tiga, Kuala Terengganu yang tersenarai ke peringkat akhir.

Katanya pertandingan dua tahun sekali ini berstatus antarabangsa kerana balai yang terbaik akan dipertandingkan ke peringkat Asia dan seterusnya.

"Balai Polis Pasir Akar terpilih hingga ke peringkat akhir kerana hubungan baik dengan komuniti setempat dalam pelbagai aspek," katanya.

Beliau berkata anggota panel turut mendapat respons secara tertutup daripada pemimpin dan wakil setempat mengenai perkhidmatan balai polis yang mula wujud pada tahun 1956 dan dulunya dikenali rumah pasung.

No comments:

Post a Comment