Monday, January 30, 2012

Pemuda UMNO Dungun Bantu Pesakit Buah Pinggang

Azhar Jambol memasang alat bantuan pernafasan kepada Mohd. Adhariza Mohd. (duduk) di Kampung Alur Tembesu, Dungun, Terengganu, kelmarin.

Tiada siapa tahu rintihan Mohd. Adhariza Mohd., 24, yang menderita penyakit buah pinggang sejak berusia tiga tahun lagi.

Kini sudah lebih 20 tahun pemuda itu mengharungi kepayahan hidup dan akibat tekanan tersebut, dia amat mendambakan ihsan mereka yang sudi mendermakan organ buah pinggang bagi membolehkannya meneruskan kehidupan seperti insan lain.

Ketika ini, anak bongsu daripada tiga beradik dari Kampung Alur Tembesu di sini itu terpaksa bergantung pada mesin pencuci darah selain tiub yang dipasang pada perutnya.

Baginya, biarpun menyedari impian memiliki ‘organ baharu’ itu mungkin sukar menjadi kenyataan, dia tetap berdoa agar nasibnya berubah apabila ada penderma organ itu suatu masa kelak.

“Saya tak akan putus asa malah akan terus berdoa agar ada insan yang sudi menderma buah pinggang kepada saya memandangkan kedua-dua buah pinggang saya sudah tidak lagi berfungsi.

“Akibat penyakit ini, saya tak berdaya lakukan apa-apa kerja. Saya sangat tertekan, namun tetap reda dengan ketentuan Allah,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun dan Pemuda UMNO Terengganu di rumahnya, di Dungun, kelmarin.

Dalam kunjungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun, Azhar Jambol turut menyumbangkan alat pernafasan kepada Mohd. Adhariza bagi membantu meringankan penderitaan yang dialami.

Mohd. Adhariza berkata, dia gembira dan terharu dengan sumbangan alat pernafasan tersebut memandangkan dia sering sesak nafas dan terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan bantuan pernafasan.

“Sejak saya menghidap penyakit ini, saya tak tidur seperti orang lain. Saya terpaksa tidur dalam keadaan duduk kerana jika saya baring, saya akan sesak nafas dan tidak selesa,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun atas sumbangan itu.

No comments:

Post a Comment