Monday, January 30, 2012

TM Rugi RM2.4 Juta Akibat Kabel Dicuri

Telekom Malaysia (TM) Bhd. terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM2.4 juta akibat kecurian kabel telekomunikasi milik syarikat itu di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengurus Besar TM Terengganu, Badrul Hisham Bahari berkata, kes kecurian itu dilaporkan berlaku hampir setiap daerah di negeri ini dengan Besut dan Setiu mencatatkan kes tertinggi.

Beliau memberitahu, kejadian itu dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang kemudian menjual kabel curi itu kepada pihak ketiga terutama di kalangan pembeli besi buruk.

Badrul Hisham yang menyifatkan kejadian itu sebagai serius berharap semua pihak termasuk komuniti setempat agar memberikan kerjasama melaporkan kejadian kepada polis untuk tindakan pencegahan.

“Kejadian ini sebenarnya bukan hanya berlaku di sini malah di negeri lain. Bagi negeri ini, daerah Besut dan Setiu lebih banyak berlaku sehingga pihak kami terpaksa menanggung kerugian besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program TM Mesra Sepakat Komuniti Bersama Pemimpin dan Komuniti DUN Ajil di Dewan Sivik Ajil, dekat Ajil semalam yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Abdul Wahid.

No comments:

Post a Comment