Sejumlah AS$6.1 bilion telah dikirim pulang oleh tenaga kerja Indonesia ke negara asal mereka dari Januari hingga November 2011 dan daripada jumlah itu, AS$2.1 bilion adalah dari Malaysia.
Itulah angka yang tercatat di bank pusat Bank Indonesia (BI) dan ia tidak termasuk wang yang dikirim secara langsung oleh mereka dan melalui institusi bukan bank, yang tidak direkodkan BI.
Pengarah Pemberdayaan Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia (BNP2TKI) Baslian Krisnayoza berkata, kiriman wang berjumlah AS$6.1 bilion itu adalah daripada tenaga kerja Indonesia yang bekerja di kawasan Asia, Timur Tengah dan Afrika, Amerika serta kawasan Eropah dan Australia.
Kiriman pulang wang dari kawasan Asia sahaja sudah berjumlah AS$3.5 bilion iaitu dari Malaysia AS$2.1 bilion, Taiwan (AS$448 juta), Hongkong (AS$441 juta), Singapura (AS$238 juta), Jepun (AS$146 juta), Korea Selatan (AS$85 juta), Brunei (AS$53 juta), Macao (AS$38 juta) dan lain-lain AS$2.69 juta, katanya dalam siaran berita di Jakarta.
Kiriman dari kawasan Timur Tengah dan Afrika berjumlah AS$2.4 bilion dengan sebahagian besarnya dari Arab Saudi iaitu Rp2 bilion, kiriman dari Amerika berjumlah AS$129 juta manakala kiriman dari kawasan Eropah dan Australia pula berjumlah AS$22.3 juta.
"Secara keseluruhan, kiriman 2011 yang berjumlah AS$6.1 bilion mengalami penurunan jika dibandingkan dengan kiriman pada 2010 yang berjumlah AS$6.7 bilion," kata Krisnayoza.
No comments:
Post a Comment