Pada ketika pasukan Terengganu semakin menonjol dengan pemain import mereka, jurulatih T-Team, Yunus Alif sudah hilang kesabaran dengan pemain import Zacharia Simukonda, yang tidak memberi gambaran sebagai seorang pemain bertaraf profesional.
Beliau berkata, Zacharia akan diberi peluang dalam beberapa perlawanan lagi sebelum tindakan drastik diambil ke atas pemain dari Zambia itu. Yunus bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil nanti.
"Persembahannya amat mengecewakan dan tidak menunjukkan permainan seperti diharapkan oleh peminat T-Team," katanya semalam.
Katanya lagi, sebagai penyerang, T-Team menaruh harapan amat tinggi kepada Simukonda untuk menjaringkan gol tetapi ternyata pemain itu gagal berbuat demikian.
Simukonda setakat ini baru menjaringkan satu gol dalam Liga Super setelah mengharungi empat perlawanan.
Yunus menegaskan, Simukonda perlu menunjukkan persembahan lebih bertenaga dan berkesan pada perlawanan akan datang bagi mengelak tindakan diambil ke atasnya.
Beliau mengharapkan pemain itu mula menunjukkan kemampuan apabila T-Team melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini, di mana beliau menjangkakan perlawanan itu sengit dan menarik.
T-Team, katanya, mengharapkan Simukonda memberikan persembahan terbaik dan berkesan supaya dapat mengembalikan keyakinan pasukan terhadap pemain import itu.
Yunus juga mengingatkan anak buahnya supaya tidak melakukan kesilapan mudah apabila bertemu pasukan dari Lembah Klang itu.
Katanya lagi, ketua pasukan, Rosdi Talib yang direhatkan dalam perlawanan terakhir kerana demam dijangka kembali memperkuatkan pasukan T-Team Sabtu ini.
Mengenai kekalahannya kepada Terengganu minggu lalu, kad merah dilayangkan pengadil, Muhd Nazmi Nasaruddin kepada pertahanan T-Team, Shahril Faizal Sharifudin selepas menjatuhkan Ashaari Samsudin pada minit ke-20, membuktikan mutu pengadilan bola sepak negara masih lemah.
Kad merah yang dilayangkan pada perlawanan Liga Super antara dua kelab ‘abang-adik’ di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, dianggap berat sebelah kerana sebelum itu penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee hanya dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan penyerang import T-Team, Zacharia Simukonda pada minit ke-12.
Tindakan Muhd Nazmi melayangkan kad merah kepada Shahril Faizal mencetuskan kontroversi menyebabkan permainan terpaksa dihentikan kira-kira lima minit.
Pengendalinya, Yunus Aliff dan pengurusan T-Team di bangku simpanan juga kecewa tetapi kekebalan diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada pengadil perlawanan itu hanya mengundang balingan botol minuman, bangku dan pelbagai objek lain ke dalam padang.
“Sebelum ini, FAM sering menasihatkan penyokong bersikap profesional, tetapi badan induk itu juga sepatutnya lebih profesional, termasuk dalam soal pemilihan pengadil.
“Jika pengurusan bersuara lantang mempertikaikan keputusan pengadil akan dihukum, tetapi jika mutu pengadilan lemah seperti ditunjukkan pengadil Muhd Nazmi, apa pula tindakan dikenakan?,” soal seorang penyokong fanatik T-Team, Mohd Faizal Abdullah.
Bagaimanapun, Yunus dan penolong pengurus, Zainal Abidin Hassan ketika ditemui selepas perlawanan yang menyaksikan skuad bimbingannya tewas 2-1, enggan mengulas lanjut tetapi berpuas hati dengan aksi barisannya walaupun beraksi dengan 10 pemain.
No comments:
Post a Comment