Thursday, January 12, 2012

Terengganu Jadi Pusat Industri Silika

TRG Industri Minerals Sdn Bhd (TIM), dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu, akan membangunkan negeri Terengganu sebagai pusat industri berasaskan silika yang unggul di Malaysia.

TIM akan mewujudkan Lembah Silika yang pertama seumpamanya di dunia dengan membuka laluan pelaburan dalam sektor perindustrian di Koridor Raya Pantai Timur.

Pengerusi TIM N Surendren berkata pembinaan lembah berteknologi tinggi dan yang pertama di Asia Tenggara itu dijangka mampu mencatatkan keluaran kasar 800,000 tan setahun dengan keluasan kawasan industri 1,200 hektar.

Beliau berkata penggunaan teknologi tinggi serta kepakaran dari rakan sekutu dari Jepun, India dan Perancis akan dapat membentuk satu industri silika yang akan mengeluarkan silika bermutu paling tinggi untuk kegunaan industri khas seperti industri pembuatan TV LED, LCD, elektonik dan kaca panel solar.

"Dua kawasan deposit silika telah dikenal pasti di daerah Setiu dan Marang di mana TIM perlu menjalankan kajian kebolehlaksanaan secara teliti dan sistematik mengikut standard antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara TIM dengan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) di sini Rabu yang disaksikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Surendren berkata TIM bercadang mewujudkan projek silika dalam empat peringkat iaitu peringkat pertama pemprosesan pasir silika tahap satu dan dua, tambahan nilai hasil silika (peringkat kedua), industri akhir iaitu kilang sodium silikat (peringkat ketiga) serta pembinaan kilang cermin (peringkat keempat).

Selain itu, konsortium TIM juga akan membina industri kraftangan berasaskan kristal.

Beliau berkata konsortium TIM akan memperkenalkan industri kraftangan kristal yang lengkap dengan studio, galeri, muzium serta pendidikan dan latihan yang berpusat di Taman Tamadun Islam.

"Ini sebagai tanggung jawab sosial syarikat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan juga bagi meningkatkan ekonomi tempatan," katanya.

Selain dari industri kraftangan kristal, TIM juga akan membina semula jeti Merang bagi kegunaan konsortium TIM dan juga membuka laluan untuk nelayan di kawasan Merang.

TIM juga akan membantu melatih penduduk tempatan yang terpilih bagi menguruskan projek penternakan ikan, belut dan udang yang akan diwujudkan di kawasan Merang.

Surendren berkata pihaknya akan membelanjakan RM350 juta hingga RM400 juta dalam tempoh lima tahun bagi mewujudkan industri itu yang dijangka beroperasi mulai pertengahan 2013.

Beliau berkata projek silika ini dianggarkan dapat memberi peluang pekerjaan kepada 350 orang pada tahap industri I&II dan seramai 600 orang bagi tahap industri Aplikasi (hiliran).

No comments:

Post a Comment