Wednesday, January 18, 2012

Terengganu Kutip Mata Penuh, T-Team Terikat Dengan Sabah

Pemain Perak, Akmal Rizal Rakhli (tengah) meraikan jaringannya menentang Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. Perak menang 2-1.

Kelab dari Terengganu, T-Team terus kekal di tangga teratas Liga Super biarpun mereka sekadar seri 0-0 dengan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Sementara penampilan sulung pemain import, Francis Forkey Doe dalam saingan Liga Super musim ini membawa tuah buat Terengganu apabila penyerang dari Liberia itu meledak gol tunggal perlawanan ketika membantu pasukan menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Kuching.

Terengganu yang disuntik semangat membara selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan dua pemain importnya - Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil beraksi menggunakan sepenuhnya peluang mencuri tiga mata di lubuk keramat Bujang Senang.

Selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kedah dan Kuala Lumpur, T-Team yang dikendalikan Yunus Alif garang di awal permainan, namun Zacharia Simukonda mempersiakan dua peluang terbaik pada minit ke-11 dan 14 apabila sekadar melakukan sepakan lemah yang mudah diselamatkan penjaga gol Sabah, Azizon Kadir.

Padang basah disebabkan hujan sebelum kedua-dua pasukan turun beraksi nyata menjejaskan sedikit rentak permainan.

Sabah turut memiliki peluang terbaik pada minit ke-17 tetapi penyerang import, Michael Baird gagal menanduk tepat sepakan sudut biarpun penjaga gol T-Team, Iqbal Suhaimi sudah meninggalkan gawangnya.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat kendalian Justin Ganai terus memiliki peluang untuk memecah kebuntuan, namun Bobby Gonzales gagal menyempurnakannya biarpun hanya berdepan Iqbal pada minit ke-63 dan 74.

Peluang terbaik Sabah menyusul pada minit ke-77 dan kali ini rembatan Baird berjaya diselamatkan oleh Iqbal.

T-Team turut mempunyai beberapa peluang menerusi Simukonda, namun penyerang import itu mempersiakannya apabila terjatuh ketika mengelecek bola.

Sementara di Kuching, skuad tuan rumah kendalian Robert Alberts bagaimanapun bermula garang dengan melakukan beberapa serangan berbahaya menerusi pemain importnya, Guy Bwele dan penyerang utama, K Ravindran yang sebelum ini meledak satu gol pada setiap perlawanan.

Namun keghairahan barisan pemain Bujang Senang menyerang kubu pasukan kendalian Mat Zan Mat Aris itu berjaya dikekang benteng pertahanan kental yang diterajui kapten pasukan, Marzuki Yusof.

Terengganu yang hadir dengan reputasi naib juara Liga Super dan juara Piala FA sebaliknya bijak menghidu peluang untuk merobek jaring tuan rumah, dan kelekaan barisan pertahanan Sarawak yang diketuai kapten pasukan, Hairol Mokhtar, membuka ruang buat Forkey melepaskan rembatan kencang ke arah gawang yang dijaga Saiful Amar Sudar.

Sarawak yang tersentak dengan jaringan berkenaan cuba mengatur serangan dengan kesempatan terbaik diterima melalui sepakan sudut Ashri Chu Chu pada minit-42, namun tandukan Hairol dapat ditepis penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee.

Pada babak kedua, Sarawak mula menukar corak permainan dengan memasukkan Zamri Morshidi menggantikan K Rajan, dan penyerang tempatan itu mendapat peluang terbaik pada minit ke-60 namun tendangannya tepat ke dakapan Sharbinee.

Di Kuala Lumpur, Felda United meleburkan keegoan Selangor dalam aksi ketiga Liga Super semalam apabila berjaya melakarkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Hang Jebat sekali gus meranapkan rekod tanpa kalah Red Giants.

Azrul Ahmad muncul wira skuad ‘Sang Peneroka’ itu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-32 selepas menerima hantaran daripada bekas pemain Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong.

Kejayaan meraih tiga mata ke atas gergasi Lembah Klang itu yang dianggap antara sebagai pasukan pilihan menjuarai Liga Super musim ini ternyata menggembirakan pengendali Felda, E. Elavarasan.

‘‘Kemenangan itu memang satu kejutan kerana Selangor adalah sebuah pasukan yang kuat dan tiga mata ini saya anggap cukup berharga setelah pemain berjuang bermati-matian di atas padang.

‘‘Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang berdisiplin terutama pada separuh masa kedua kerana dapat mengekang habis-habisan serangan dilakukan Selangor yang berusaha memburu gol penyamaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Di Stadium Perak, skuad Seladang menumpaskan juara Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan 2-1 dengan dua jaringan daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-39 dan 50.

Walaupun Jean-Emmanuel Effa Owona meletakkan skuad Rusa itu di hadapan seawal minit kelima melalui situasi sepakan percuma, Akmal yang menggantikan Mohd. Failee Mohd. Ghazli pada minit ke-35 memusnahkan harapan Negeri Sembilan bagi sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Di Stadium Muhammad ke-IV, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meranapkan impian Johor FC untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila jaringan pada minit ke-72 memberikan kemenangan 2-1 kepada Kelantan.

Indra Putra Mahayuddin terlebih dahulu meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-55 sebelum disamakan oleh Mohd. Khairul Ismail pada minit ke-63.

PKNS dan Kedah pula terus kempunan dalam mencari kemenangan pertama musim ini apabila kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam aksi penuh hambar di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Jaringan tunggal pemain import yang baru didaftarkan Terengganu, Francis Forkey Doe pada minit ke-37 sudah cukup memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga hasil kemenangan ke atas Sarawak di Stadium Negeri.

Berpunca daripada hantaran lintang Ashari Samsudin, Francis mudah melepasi kawalan pertahanan Sarawak sebelum melakukan rembatan kencang di hadapan pintu gol.

Lions XII pula memperoleh kemenangan pertama apabila membenam Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Jalan Besar hasil jaringan sendiri Aiman Syazwan Abdullah pada minit ke-41 dan Shahdan Sulaiman, minit ke-57 sebelum Fazuan Abdullah merapatkan jurang buat Kuala Lumpur pada minit ke-68 melalui sepakan penalti.

Berita Harian & Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment