Kerajaan negeri Terengganu akan memohon pinjaman sebanyak RM500 juta dari kerajaan pusat untuk membiayai projek bekalan air di kawasan perindustrian Teluk Kalong dekat sini bagi keperluan industri.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata bekalan air di kawasan itu meningkat dari semasa ke semasa berikutan pertambahan kilang baru termasuk Kilang Keluli Bersepadu Eastern Steel yang sedang dibina.
"Apabila kilang Keluli Bersepadu Eastern Steel siap nanti bil airnya saja dijangka akan mencecah RM1 juta sebulan dan sebelum ini, Perwaja Steel hampir RM400,000 sebulan sementara Tioxide Malaysia Sdn Bhd mencapai RM500,000 sebulan.
"Sebab itu kita amat memerlukan pinjaman ini dan kita sudah melantik konsultan sebagai langkah awal melaksanakan projek bekalan air tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dana Tahun Baru Cina 2012 peringkat daerah Kemaman di Dewan Datuk Seri Amar Diraja, di Cukai semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman dan ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.
Katanya, projek tersebut dijangka akan memakan masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan dan sebagai langkah sementara kerajaan negeri akan membeli air daripada Petronas dengan menarik bekalan air di Dungun.
Sementara itu, seramai 1,577 orang menerima Dana Tahun Baru Cina itu membabitkan seramai 1,059 dari DUN Chukai, 337 (DUN Kemasik), 155 (DUN Kijal) dan 26 (DUN Air Putih) yang membabitkan perbelanjaan RM400,500.
No comments:
Post a Comment