Wednesday, January 18, 2012

Terengganu Perlu Sentiasa Tambah Peruntukan Pendidikan Jika Mahu Kekal Prestasi - Ahmad Said

Terengganu perlu menambah peruntukan untuk pendidikan setiap tahun dalam usaha menjadi negeri maju setara dengan negeri lain yang telah membangun, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya setakat ini, pelaburan tinggi yang dikeluarkan kerajaan negeri bagi menjadikan Terengganu negeri anjung ilmu memberi pulangan memberangsangkan menerusi pencapaian anak negeri dalam peperiksaan umum sekolah.

Terengganu berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah untuk tahun ke-12 berturut-turut dan ini merupakan rekod yang sukar digugat oleh mana-mana negeri, katanya di Kuala Terengganu malam semalam.

Beliau berkata pencapaian pelajar Terengganu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah juga semakin meningkat saban tahun dan semua itu dicapai menerusi komitmen semua pihak terbabit.

"Untuk tahun-tahun akan datang, saya percaya bajet kerajaan negeri untuk sektor pendidikan juga akan bertambah. Ini tidak dapat dielak jika Terengganu ingin mencapai wawasan negeri maju setara dengan negeri-negeri yang sudah membangun," katanya.

Ahmad yang berucap pada majlis makan malam penghargan syarikat minyak ExxonMobil, turut berkata penemuan minyak di perairan Terengganu pada 1974 membolehkan kerajaan negeri membangunkan negeri itu dengan pendidikan antara bidang yang ditumpukan.

"Ia (pendidikan) juga punca untuk meleraikan kemelut kemiskinan yang melanda rakyat negeri ini kerana kemiskinan adalah punca kejahilan," katanya.

Pada majlis itu, ExxonMobil turut menghargai 25 guru di Terengganu atas sumbangan mereka dalam sektor pendidikan, yang mana masing-masing menerima wang tunai RM1,500 serta sijil penghargaan.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment