Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu melancarkan 'Ops Bantu 4' bagi menolong mangsa kemalangan dan mereka yang mengalami kerosakan kenderaan di jalan raya ketika musim perayaan.
Pengarahnya Kamal Mokhtar berkata hampir 100 anggota JPAM Terengganu terlibat dengan operasi itu yang akan berlangsung sehingga 30 Jan ini.
Anggota akan bertugas dalam dua syif iaitu dari 8 pagi hingga 4 petang dan dari 4 petang hingga 12 tengah malam dengan setiap syif disertai 32 anggota, katanya di sini.
"Kita juga telah peruntukkan sebuah ambulans, kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta bagi setiap daerah di negeri ini bagi menjalankan rondaan dan memudahkan operasi berkenaan," katanya.
JPAM juga membekalkan sebuah Motosikal Gerak Pantas 999 untuk rondaan berkala di daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu serta lori lima tan untuk daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi banjir.
Pengguna jalan raya yang menghadapi masalah hanya perlu hubungi talian 999 atau mana-mana pejabat JPAM yang terdekat untuk mendapatkan bantuan, katanya.
Sementara itu, beliau berkata terdapat peningkatan ketara kes kemalangan yang dikendalikan JPAM Terengganu sejak dua tahun lepas.
Pada 2010, JPAM Terengganu menerima 179 kes kemalangan membabitkan 479 mangsa dan tahun lepas meningkat kepad 192 dengan 600 mangsa, katanya.
No comments:
Post a Comment