Thursday, January 12, 2012

Terengganu Sasar 4 Juta Pelancong Tahun Ini

Terengganu menyasarkan kedatangan empat juta pelancong ke negeri itu pada tahun ini berbanding 3.9 juta yang datang pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata sasaran itu mampu dicapai memandangkan bilangan pelancong yang berkunjung ke Terengganu pada tahun lalu itu melebihi sasaran 3.8 juta orang.

"Walaupun pulau peranginan hanya dibuka pada April serta keadaan cuaca dan keadaan ekonomi kurang memberangsangkan tahun lalu, kedatangan pelancong ke Terengganu masih meningkat dengan baik.

"Ini menunjukkan satu pertambahan kedatangan pelancong yang membanggakan kita," katanya.

Ahmad berkata, apabila projek Kawasan Bebas Cukai di Tasik Kenyir siap kelak, Terengganu mampu menarik sehingga lima juta pelancong setahun.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata kerajaan negeri berharap Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan turut membantu kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Katanya, dengan kerjasama semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) ia dapat meningkatkan industri pelancongan melalui pelbagai aktiviti dan tawaran pakej yang menarik.

“Jika mampu mempertingkat promosi mengenai produk dan tempat menarik di negeri ini, pastinya dapat memberi persepsi yang baik terhadap sektor pelancongan dan kerajaan mensasarkan pelancong domestik lebih ramai berkunjung dalam tahun ini,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap supaya lebih ramai pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia dan Filipina datang mengunjungi puluhan destinasi menarik yang terdapat di Terengganu.

“Jika pihak berkaitan bijak mengadakan promosi dan menghebahkan keindahan tentang negeri ini kepada pelancong luar, tidak mustahil sasaran yang dikehendaki itu akan tercapai,” katanya.

No comments:

Post a Comment