Thursday, January 12, 2012

Jalan ke Felda Belara Terputus, Penduduk Alami Kesulitan

Penduduk mengambil risiko melalui jalan raya yang rosak akibat tanah runtuh berikutan hujan yang lebat di Felda Belara, Kuala Terengganu, semalam.

Penduduk di penempatan Felda Belara dekat sini menghadapi kesulitan apabila jalan utama yang menghubungkan mereka dengan kawasan luar terputus sejak 10 hari lalu.

Kejadian berlaku ekoran hujan lebat yang menyebabkan separuh daripada jalan sepanjang hampir 100 meter itu mendap di kawasan cerun dan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan kerana keadaan membahayakan.

Sekalipun mempunyai jalan alternatif, penduduk tetap menghadapi masalah untuk menghantar anak ke sekolah, melambatkan proses mengeluarkan hasil getah serta mengancam nyawa penduduk berdekatan.

Pengurus Felda Belara, Awang Bebakar berkata, paling dirasai adalah ibu bapa yang terpaksa berulang alik menghantar anak mereka ke sekolah memandangkan kawasan itu tidak boleh dimasuki bas sekolah.

"Jalan yang runtuh ini memaksa semua penduduk yang ingin memasuki kawasan kampung, terutamanya di peringkat dua menggunakan jalan alternatif yang agak jauh dan sempit," katanya kelmarin.

Menurutnya, kesukaran juga timbul apabila Pusat Mengumpul Getah (PMG) yang menjadi punca rezeki para peneroka terletak berdekatan dengan kawasan runtuhan.

"Semua hasil getah yang dikutip perlu dikumpul di PMG sebelum dijual, tetapi masalah mula timbul apabila lori-lori susah memasuki kawasan berkenaan," jelasnya.

Ketua Peneroka Felda Belara, Mohd. Zin Embong pula memohon pihak berwajib menyegerakan pembaikan jalan tersebut demi kepentingan penduduk kampung.

"Kawasan masjid dan kubur juga terletak lebih kurang 100 meter sahaja dari kawasan runtuhan. Kita takut, jika ia tidak dibaik pulih dengan segera akan berlaku lagi runtuhan susulan selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Felda Belara, Mat Yassin Ismail mengingatkan penduduk kampung tidak mendekati kawasan runtuhan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

No comments:

Post a Comment