Tuesday, January 10, 2012

UniSZA Terima Baucer Buku RM1.26 Juta

Baucar buku bernilai RM200 untuk penuntut institusi pengajian tinggi yang diumumkan dalam Perdana Menteri dalam Bajet 2012 mula diagihkan kepada lebih 6,300 pelajar di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di Kuala Terengganu, semalam.

Baucar bernilai RM1.26 juta itu disampaikan Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Datuk Wira Dr. Rosli Mat Hassan yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi kepada Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Alias Daud.

Alias ketika ditemui berkata, langkah kerajaan memberi peruntukan tambahan kepada penuntut membuktikan kerajaan prihatin terhadap masa depan bidang pendidikan negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti.

“Peruntukan besar yang disalurkan pihak kerajaan itu cukup baik kerana setiap semester pelajar akan membeli sekurang-kurangnya tiga buah buku baru mengikut subjek dan silibus tertentu.

“Walaupun kemudahan pinjaman buku disediakan di perpustakaan, kalangan pelajar lebih suka membeli bahan rujukan itu untuk simpanan mereka biarpun harganya lebih dari RM200 untuk sebuah buku,” katanya.

Pada program itu, UniSZA turut menganjurkan pameran dan jualan buku selama empat hari bagi memberi peluang penuntut universiti itu mendapatkan buku-buku pilihan dan terbaru.

Tambah Dr. Alias, pemberian baucar tersebut diberikan tanpa mengira penuntut itu mengikuti pengajian pada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah secara sepenuh masa atau pun sebaliknya.

“Seorang penuntut akan mendapat empat baucar bernilai RM50 sekeping dan mereka hanya dibenarkan membeli buku akademik, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan masing-masing.

“Pelajar akan menebus baucar itu di mana-mana kedai buku yang dilantik dan berdaftar dengan pihak kementerian. Baucar itu hanya boleh digunakan di kedai tertentu dan dilarang menebus dengan wang tunai,” jelasnya

Teganukita

No comments:

Post a Comment