Friday, January 20, 2012

Yunus Tuntut Simukonda Lebih Bertenaga

T-Team mungkin lega apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan Liga Super walaupun mengutip satu mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Sabah kelmarin.

Keputusan itu membolehkan pasukan berstatus kelab itu mengekalkan tangga teratas liga, namun diekori Kelantan yang berkongsi tujuh mata.

Namun hasrat Jurulatih T-Team, Yunus Alif yang menyasarkan mata penuh ketika menentang Sabah nyata tidak kesampaian.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Zacharia Simukonda mempersiakan dua peluang gol terbaik apabila melepaskan sepakan lemah pada babak pertama.

Ternyata aksi hambar dan gandingan penyerang import, Zacharia Simukonda dengan Fadzli Shaari bagai ada yang tidak kena pada aksi kelmarin.

Yunus tidak dapat berselindung perasaan kecewanya dengan prestasi pemain import dari Zambia itu.

Yunus Alif ternyata geram dengan prestasi Simukonda yang sepatutnya menjadi contoh kepada pemain lain untuk meningkatkan prestasi pasukan tetapi pemain dari Liberia itu jelas gagal menunjukkan tahap permainan yang dikehendaki.

“Bukan hanya dalam perlawanan malam ini (kelmarin) tetapi sejak tiga perlawanan lalu, pemain yang pernah bersama Perlis itu gagal memperagakan aksi bertenaga sebagai penyerang berbisa.

“Pada pertemuan dengan Sabah yang berkesudahan seri 0-0, Simukonda yang diharap memecah benteng lawan banyak kehilangan bola selain melorongkan hantaran tidak bermutu kepada rakan sepasukan.

“Akibatnya kita gagal mencatat kemenangan biarpun beraksi di gelanggang sendiri meskipun menguasai perlawanan. Justeru pertemuan dengan Terengganu, Sabtu ini, saya harap dia cergas dan kembali bangkit jika tidak mahu berada di bangku simpanan,” katanya.

Yunus yang pernah menjadi pemenang Kasut Emas pada 1984 juga mengingatkan pemain lain supaya tidak leka dalam aksi seterusnya biarpun kini masih menghuni tangga teratas liga.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris berharap penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe terus menemui sentuhan dalam aksi seterusnya selepas berjaya mempamerkan persembahan mantap ketika berdepan Sarawak.

“Doe mempunyai sentuhan berbisa dan membuktikannya ketika menjaringkan gol kemenangan Terengganu dan saya harap dia terus mempamerkan aksi terbaik terutama apabila berdepan T-Team, Sabtu ini,” katanya.

Beliau juga mengingatkan pemain lain supaya mempamerkan persembahan bertenaga kerana saingan dalam membarisi kesebelasan utama skuad kini semakin sengit.

Untuk perlawanan seterusnya, T-Team bakal bertembung dengan 'abang' sendiri, Terengganu dan Yunus menyatakan keyakinan anak didiknya bersedia dan berusaha untuk bangkit semula dan mengumpul lebih banyak mata.

"Bagi perlawanan adik abang ini nanti, kita akan tengoklah sama ada perlu buat perubahan atau tidak," jelasnya.

Harian Metro
& Utusan Malaysia

1 comment:

  1. Fast cash offer for you today at just 3% interest rate, both long and short term cash of all amounts and currencies, no collateral required. Apply now for your instant approval financialserviceoffer876@gmail.com WhatsApp +918929509036

    ReplyDelete