Sejumlah 121 agensi pekerjaan di Malaysia, termasuk satu di Terengganu telah bersiap sedia untuk bekerjasama dengan syarikat pelaksana penempatan Tenaga Kerja Indonesia swasta (PPTKIS) dalam urusan penempatan pembantu rumah Indonesia mulai Mac ini.
Ketua Pengarah Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Reyna Usman berkata agensi berkenaan tersebar di 11 negeri di Malaysia, dengan Selangor mempunyai bilangan agensi pekerjaan paling banyak iaitu 42.
Ia diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 23 syarikat, Johor (13), Perak (11), Pulau Pinang (11), Melaka (7), Negeri Sembilan (5), Pahang (5), Kedah (2), serta Kelantan dan Terengganu masing-masing satu.
Struktur hubungan kerjasama yang lebih baik antara agensi pekerjaan Malaysia dan PPTKIS merupakan salah satu perkara penting yang disepakati antara kerajaan Indonesia dan Malaysia dalam forum Pasukan Petugas Bersama, yang menjadi badan pengawas bagi urusan penempatan dan pelindungan pembantu rumah dan majikan.
"Untuk memastikan proses penempatan pembantu rumah Indonesia sektor domestik ke Malaysia berjalan dengan baik, kerajaan Indonesia dan Malaysia telah sepakat melakukan pengawasan ketat terhadap PPTKIS Indonesia dan agensi pekerjaan Malaysia yang bekerjasama dalam urusan penempatan itu," kata Reyna di Jakarta.
Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar sebelum ini menyatakan bahawa 137 PPTKIS telah bersedia untuk melakukan penempatan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia mulai Mac ini.
Reyna berkata pengawasan ketat dan penilaian berkala terhadap agensi penempatan pembantu rumah Indonesia negara masing-masing akan dilakukan secara optimum dan agensi pekerjaan yang didapati melanggar peraturan akan dikenakan tindakan, daripada peringatan sehingga penarikan balik permit operasi.
Indonesia secara rasmi menarik balik moratorium tentang penempatan pembantu rumah dari negara itu ke Malaysia mulai 1 Dis lepas namun ia akan hanya mengirim semula pembantu rumahnya mulai Mac.
Reyna berkata urusan penempatan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia akan diserahkan sepenuhnya kepada PPTKIS berdasarkan undang-undang dan peraturan yang digunakan.
Beliau berkata tempoh tiga bulan diperlukan sebelum pembantu rumah dapat dikirim ke Malaysia kerana calon-calon pembantu rumah perlu dipersiapkan mengikut persetujuan bersama, daripada peringkat pengambilan hingga latihan 200 jam, di samping urusan penyediaan dokumen rasmi.
No comments:
Post a Comment