AzizulHasni Awang (kiri) gagal mengatasi kepantasan pelumba Jepun, Kazunari Watanabe dalam saingan akhir acara pecut ACC 2012 di Velodrom Cheras, semalam.
Kecewa setelah gagal menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dalam acara pecut kategori elit di Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 semalam, dua pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa tetap berazam untuk menebusnya dalam acara kegemaran mereka, Keirin yang akan bermula hari ini.
Azizulhasni, 24, dan Fatehah, 23, terpaksa akur kepada lawan masing-masing iaitu Kazunari Watanabe (Jepun) dan Lee Wai Sze dari Taiwan pada aksi final acara pecut lelaki dan wanita elit semalam kerana lambat turun memanaskan badan selepas berlaku perubahan jadual di saat-saat akhir oleh penganjur kejohanan.
Perubahan waktu tersebut yang dimulakan satu jam lebih awal daripada jadual asal iaitu 11.30 pagi selepas upacara penyampaian hadiah, akhirnya menjejaskan sesi memanas badan kedua-dua pelumba tersebut, sekali gus menyebabkan mereka kehilangan rentak ketika dalam perlumbaan.
Paling kecewa ialah Azizulhasni yang berhasrat untuk menghadiahkan pingat emas kepada penyokong Malaysia yang setia memenuhi Velodrom Kuala Lumpur, Cheras pagi semalam, namun terpaksa juga menerima kekalahannya kepada Watanabe dalam dua pusingan di final.
Kini kedua-dua pelumba yang berpangkalan di Melbourne itu berhasrat untuk menebus kekecewaan itu dengan mara ke separuh akhir acara Keirin yang dimulakan dengan peringkat awal pada petang ini.
Kata Azizulhasni: "Saya mahu fokus kepada acara Keirin."
No comments:
Post a Comment