Sunday, February 26, 2012

Ahli Parlimen Dungun Panjat Alang Pasang Atap

Berhadapan detik memilukan dengan keadaan atap bocor setiap kali musim hujan bukan lagi satu kesulitan buat seorang bapa tunggal dekat sini apabila rumahnya dibaik pulih dalam satu program gotong-royong, dekat Dungun, pagi semalam.

Bagi Mahmud Mat Zin, 52, keprihatinan pihak berkenaan yang memahami situasi dihadapi membuatkan bapa lima anak ini terharu atas usaha dilakukan bagi membaik pulih rumah nelayan yang letaknya kira-kira 100 meter dari pantai itu.

Mahmud yang terpaksa memikul tanggung jawab sebagai bapa dan ibu kepada anaknya yang berusia antara empat hingga 27 tahun sejak isterinya, Fauziah Mat Ali, meninggal dunia setahun lalu itu berkata, dengan pendapatannya sebagai nelayan, dia tidak mampu untuk membaiki rumahnya.

Sehubungan itu, inisiatif diambil 53 anggota tentera dari Pasukan Simpanan Tentera Laut (PSTL) yang berpangkalan di Chendering Kuala Terengganu menganjurkan aktiviti membaiki rumah bersama pemimpin setempat itu membuatkan Mahmud yang mengharap sumber pendapatan hasil laut untuk menyara keluarga itu, amat dihargainya.

“Terima kasih kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang memilih rumah saya untuk dibaiki. Kesudian wakil rakyat yang sanggup turun padang untuk bersama agensi berkenaan juga amat saya hargai,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang, Datuk Zaa’bar Mohd Adib.

Matulidi yang meluangkan masa hampir satu jam di lokasi terbabit tidak melepaskan peluang menyumbang tenaga memanjat alang rumah bagi memasang atap bahagian dapur rumah Mahmud yang bocor itu.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment