Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail (Bernama, 2 Feb 2012)
Tanggal 22 Mac ini, genap empat tahun Datuk Seri Ahmad Said menerajui tampuk kepimpinan negeri Terenganu sebagai Menteri Besar, dan sepanjang tempoh itu, Terengganu telah melalui fasa transformasi pesat dalam pelbagai bidang terutama yang berkaitan dengan pembangunan sumber manusia.
Bidang pendidikan dan sukan serta pembangunan infrastruktur menjadi fokus utama beliau.
Ketika ditemui Bernama dan dua wakil media arus perdana dalam temubual eksklusif baru-baru ini, Ahmad melahirkan rasa syukur khidmatnya sebagai Menteri Besar Terengganu bakal menginjak ke empat tahun di bawah slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.
Katanya tempoh tiga tahun pertama digunakan untuk pembangunan modal insan yang dilihat bakal merubah secara drastik masa depan Terengganu satu masa nanti.
Menurutnya tempoh tiga tahun pertama digunakan beliau untuk memperkasakan pendidikan dan modal insan, memenuhi keperluan asas rakyat terutamanya golongan miskin dengan menyediakan kediaman yang selesa.
"Saya buat kajian, masalah utama rakyat di sini ialah rumah. Sepanjang tempoh 35 tahun, hanya 7,000 rumah dibina untuk rakyat miskin di Terengganu.
"Sebab itu saya buat dasar dalam tempoh lima tahun bermula daripada saya ambil alih pentadbiran kerajaan negeri, saya nak bina 10,000 rumah dan lima tahun akan datang, sebanyak 10,000 lagi rumah akan dibina," katanya.
Beliau mengaitkan bantuan atap bercat 'biru' yang diagih kepada rakyat memerlukan sejak awal memegang jawatan Menteri Besar sebagai simbol payung untuk melindungi rakyat daripada panas dan hujan.
"Ia sebagai simbol sebab walaupun pendapatan cukup-cukup untuk makan, jika rumah tidak selesa, macam mana anak-anak nak belajar. "Saya pernah jumpa khemah dipasang dalam rumah pada musim hujan. Sebab itu saya kata kalau ada rumah di Terengganu ini yang tiangnya bulat, atap nipah, beritahu saya, kita akan beri bantuan serta-merta sebab kita tak nak lihat lagi ia ada di Terengganu," katanya.
Dalam soal pendidikan dan sukan pula, beliau berjaya meneruskan tradisi kecemerlangan yang ditinggalkan Menteri Besar sebelum ini, Datuk Seri Idris Jusoh, selain melaksanakan perancangan baru bersesuaian dengan masa.
"Setiap tahun, kita salurkan RM200 juta untuk Yayasan Terengganu. Dana itu disalur sebagai biasiswa dan pinjaman kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di luar negara seperti dalam jurusan perubatan, kejuruteraan, juruterbang dan sebagainya.
"Kita juga yang pertama memulakan kelas maya, pengagihan komputer riba e-book kepada pelajar, bantuan pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil, diploma dan ijazah, bantuan one-off pakaian dan mencetak soalan peperiksaan yang semuanya menelan puluhan juta ringgit setahun," katanya.
Dalam bidang sukan pula, kecemerlangan Terengganu tidak dapat dinafikan adalah hasil dorong beliau sehingga berjaya menjuarai Sukma kali ketiga berturut-turut, menubuhkan dua pasukan bola sepak, Terengganu dan kelab T-Team, menubuhkan pasukan lumba basikal profesional, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dan menghantar wakil paling ramai dalam Sukan SEA yang lalu selain mempunyai wakil untuk Sukan Olimpik di London 2012.
Dalam masa yang sama, penyediaan infrastruktur dan keperluan asas juga dilaksanakan secara berperingkat seperti jajaran jalan dan pembinaan jambatan baru dalam usaha mengelak kesesakan lalulintas terutamanya di pusat bandar raya.
"Kita juga tidak mengabaikan aspek kesejahteraan rakyat, setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk Tabung Pesakit Kronik yang diserahkan kepada pihak hospital untuk lampin pakai buang, penyediaan kaki palsu, tangan palsu dan lain-lain.
"Dalam Islam tak elok hebahkan benda-benda baik yang kita buat namun ada juga orang di luar sana yang buat cerita, kata Menteri Besar membazir, saya nak tanya adakah ini sesuatu yang membazir," katanya.
Namun, setelah apa yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, Ahmad berkata beliau sedikit terkilan kerana masih ada kelompok yang "miskin minda" dalam kalangan rakyat.
"Kita bukan utopia, banyak lagi yang perlu dilaksanakan, kalau miskin kerajaan akan bantu, contohnya nelayan, kita bantu beri enjin bot pukat, sampai harga berbelas ribu seorang.
"Namun ada yang bermasalah miskin minda, kita beri bot, dia jual bot, kita beri pukat, enjin bot, dia jual, bila pendapatan masuk lebih sedikit, tak tahu simpan. Petani pula kita beri tanah, tak usahakan tanaman walaupun pelbagai bantuan disediakan. Ini yang menyukarkan kerajaan menghapuskan miskin dan miskin tegar di negeri ini.
"Satu perkara yang boleh saya katakan kepada mereka ini, saya kata kalau ada anak, pastikan anak belajar rajin-rajin, beri semangat dengan harapan anak itu akan berjaya satu hari nanti dan merubah hidup keluarga," katanya.
Menyedari kerajaan negeri tidak harus selamanya bergantung kepada hasil minyak dan gas yang mungkin akan habis atau mengalami penurunan harga, beliau berkata beberapa sektor baru diberi penekanan, terutama pelancongan dan pertanian.
Katanya mulai tahun ini, fokus diberikan kepada pembukaan ladang rakyat untuk penanaman kelapa sawit dan mini estet padi bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Ahmad berkata sektor pelancongan akan dijadikan ekonomi teras, bermula dengan membangunkan Tasik Kenyir sebagai kawasan bebas cukai memandangkan tasik terbesar buatan manusian itu mempunyai potensi yang belum digunakan sepenuhnya.
Terengganu juga menerima limpahan pelabur asing terutama dalam industri berat di Kemaman yang menerima pelaburan berbilion ringgit untuk industri keluli dan besi.
Beralih kepada politik, Ahmad berkata pertelagahan dalaman yang berlaku dalam BN dan Umno negeri pasca pilihan raya umum 2008 kian reda.
Katanya apa yang berlaku tidak seteruk yang digambarkan oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan, terutamanya pembangkang yang menang di Terenganu pada 1999 dan berhasrat merampas semula negeri itu setelah kalah kepada BN pada 2004.
"Kita telah berjaya menangkis apa yang berlaku sebelum ini. Memang mereka cuba gembar-gemburkan apa yang berlaku itu dengan harapan rakyat akan bosan dan memilih mereka, namun saya tahu rakyat lebih bijak menilai kerajaan mana yang mampu memerintah dengan baik, BN atau PAS," kata Ahmad.
Katanya kedudukan BN juga semakin kuat dan berdasarkan situasi semasa, BN mampu menang besar pada pilihan raya umum.
"Kita yakin dapat menang 29 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan mengekalkan penguasaan di enam daripada lapan kerusi Parlimen," katanya.
BN kini menguasai 24 kerusi negeri dan enam kerusi Parlimen.
Mengulas kedudukan beliau selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, Ahmad berkata beliau berserah kepada takdir, dan tidak akan terkilan jika sekalipun tidak dipilih menjadi Menteri Besar untuk penggal kedua.
"Apa yang penting ialah BN terus diberi mandat untuk meneruskan pembangunan modal insan dan negeri secara keseluruhannya dalam memastikan Terengganu terus berada di kelas tersendiri," katanya.
No comments:
Post a Comment