Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Anuar Manan kini menghampiri pendahulu kategori pecut (Jersi Biru) perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia.
Selepas menamatkan peringkat ketiga dari Melaka ke Parit Sulong hari ini, Anuar, mewakili pasukan Champion System yang berpangkalan di Hong Kong, China, kini berada hanya empat mata di belakang pelumba dari Itali itu.
Pelumba berusia 25 tahun itu setakat ini mengumpul 26 mata, sementara Guardini mendahului dengan 30 mata selepas tiga peringkat perlumbaan.
Pada perlumbaan peringkat ketiga LTdL dari Melaka ke Parit Sulong yang melibatkan jarak perlumbaan sejauh 187.6km, Anuar menjadi pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan itu.
Beliau menamatkan saingan di tempat ketiga dan Guardini sekali lagi meraih kemenangan peringkat untuk kali kedua berturut-turut.
Ternyata Anuar hampir berjaya merealisasikan misinya memenangi satu peringkat perlumbaan LTdL 2012 semalam.
Selepas menamatkan peringkat kedua di tempat keempat kelmarin, Anuar, 26, akhirnya berjaya menebus kekecewaan tersebut dengan melakukan henjutan menarik kira-kira 100 meter sebelum garisan penamat untuk menaiki podium buat kali pertama pada perlumbaan edisi ke-17 itu.
Pelumba pasukan Champion System itu jelas sekali berpuas hati dengan kejayaannya hasil bantuan rakan-rakan sepasukannya - Adiq Hussainie Othman dan Jaan Kirsipuu yang mengemudinya untuk terus mengekori rapat juara peringkat tersebut, Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini-Selle Italia yang mencatat 4 jam 30 minit dan 11 saat.
“Syukur akhirnya saya berjaya menaiki podium pada perlumbaan hari ini (semalam). Sudah tentu saya amat gembira dengan pencapaian ini meski pun hanya di tempat ketiga.
“Kejayaan hari ini juga membuktikan bahawa saya semakin hampir untuk merealisasikan misi utama saya iaitu memenangi satu peringkat perlumbaan pada LTdL 2012. Biarlah masa saja yang menentukannya,” kata Anuar semalam.
Menurut pelumba kelahiran Kuala Ibai itu, strateginya ialah untuk terus mengekori pelumba hadapan, Guardini dan cuba berada di kedudukan yang terbaik sebelum melakukan pecutan terakhir ke garisan penamat.
“Pada lima kilometer terakhir, semua pelumba berebut untuk berada di belakang Guardini. Situasi itu membuatkan saya banyak kali tersepit dengan pelumba-pelumba lain dan agak sukar sedikit untuk melakukan pecutan.
“Namun, saya berjaya juga menempatkan diri dalam kelompok tersebut dan walaupun saya telah mengerah segala keringat yang ada ketika menuju ke garisan penamat, Guardini lebih dahulu melintasi garisan penamat,” jelasnya.
Begitupun, Anuar masih tetap optimis dalam misinya memburu kemenangan pada LTdL 2012 dengan menjadikan peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer hari ini sebagai buruannya.
No comments:
Post a Comment