Kerajaan negeri Terengganu meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya melantik sebuah konsultan luar untuk membuat kajian terperinci berhubung hakisan sepanjang muara Sungai Paka dekat Dungun.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata muara sungai tersebut telah terhakis lebih kurang 50 meter dari keadaan asal dan ia berbahaya kepada keselamatan penduduk di sekitar kawasan itu.
"Jeti nelayan yang dulunya terletak di tepi sungai, tapi sekarang telah berubah duduk di tengah laut pula,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke daerah Dungun semalam.
Turut hadir Pegawai Daerah Dungun, Datuk Mustofa Abd. Rahman dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Datuk Mat Razali Kassim.
Ahmad Said berkata, kawasan penempatan nelayan di sekitar muara sungai Paka juga akan disusun semula supaya lebih teratur dan kemas.
"Sekarang ini, kawasan itu untuk nelayan menyimpan pukat, bot dan sebagainya adalah rata-ratanya terletak di bangunan lama, buruk dan usang. Kita akan mencantikkan tempat ini kerana tidak mahu mencacatkan pemandangan,” katanya.
Justeru itu Ahmad berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih kurang RM15 juta untuk melebarkan jalan serta membina saliran longkang dalam daerah Dungun pada tahun ini.
"Kita mengarahkan peruntukan ini dibelanja dalam tahun semasa kerana peruntukan tahun lepas sebanyak RM15 juta tidak sempat dibelanjakan,” katanya.
Beliau berharap masalah banjir dan sebagainya di daerah Dungun akan segera dapat diatasi apabila projek perparitan siap dibina nanti.
No comments:
Post a Comment