Wednesday, February 15, 2012

Anuar Manan - Tidak Ada Konspirasi

Anuar dibelenggu kontroversi apabila namanya digugurkan daripada skuad negara pada ACC 2012.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab (gambar kecil) menegaskan, tidak ada sebarang konspirasi dalam pengguguran nama pelumba sensasi negara, Anuar Manan dalam acara lebuh raya pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012.

Sebaliknya, Abu Samah menjelaskan, keputusan tersebut dibuat oleh jurulatih, Syed muhammad Hussaini Syed Mazlan berdasarkan penilaiannya terhadap prestasi dan fokus Anuar yang sebelum ini menjalani latihan bersama pasukan baharunya, Champion System bagi menghadapi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 hujung bulan ini.

Kelmarin, nama Anuar yang pernah mencatat sejarah sebagai pelumba pertama Malaysia yang memenangi satu peringkat perlumbaan LTdL 2010, diketepikan oleh Syed Muhammad Hussaini dan digantikan oleh seorang lagi pelumba yang sedang meningkat naik, Mohd. Hariff Salleh.

"Saya dikhabarkan oleh jurulatih (Syed Hussaini) bahawa mereka telah meminta Anuar untuk menyertai kem latihan negara bagi ACC 2012, namun Anuar beri banyak alasan untuk tidak menyertainya," kata Abu Samah.

"Sedangkan seorang lagi pelumba Champion System, Muhd. Adiq Hussainie (Othman) boleh pula menyertai kem latihan.

"Jadi, jurulatih tidak tahu setakat mana prestasi semasa Anuar kerana dia hanya menjalani latihan bersama pasukan baharunya, lagi pun saya diberitahu bahawa Anuar juga lebih memberi tumpuan kepada LTdL 2012.

"Saya rasa sebab itu nama dia tidak disenaraikan dalam acara lebuh raya kali ini, bukannya sebab ada konspirasi atau mahu memberi pengajaran kepadanya."

Anuar sebelum ini telah menjalani latihan intensif bersama pasukan yang berpangkalan dari Hong Kong itu, namun Abu Samah menjelaskan, Syed Muhammad Hussaini tidak mahu mengambil risiko menurunkannya kerana tidak tahu sama ada pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu sudah benar-benar bersedia.

"Jurulatih tidak mahu ambil risiko menurunkannya sebab tidak tahu setakat mana prestasi semasanya.

"Kita akan menurunkan empat pelumba dalam acara itu dan walaupun hanya seorang sahaja yang diharap mampu memenanginya, kesemua empat pelumba ini harus berada pada tahap prestasi yang sama," jelas Abu Samah lagi.

Enam pelumba telah disenaraikan dalam acara lebuh raya kategori elit lelaki iaitu Hariff dan abangnya, Zamri Salleh, Mohd. Nor Rizuan Zainal, Amir Mustafa Rusli, Akmal Amrun dan Suhardi Hassan.

Namun hanya empat pelumba sahaja yang bakal diturunkan pada Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment