Wednesday, February 15, 2012

MB - Kaji Penemuan Baru, Gua Dalam Gua

Kerajaan negeri kini giat menjalankan kajian dan penyelidikan secara menyeluruh bagi memajukan satu lagi penemuan baru, gua dalam gua yang terletak di bahagian atas di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, penemuan yang cukup berharga itu ditemui pasukan gali cari Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) ketika menjalankan tugas mencari artifak dan khazanah alam pada pertengahan tahun lepas.

Katanya, satu lagi rangka manusia turut di temui di gua sama, usia artifak itu belum diketahui kerana masih dalam kajian oleh pihak berkaitan.

Sebelum ini masyarakat dikejutkan dengan penemuan rangka manusia yang berusia 16,000 tahun yang ditemui pada November 2009 ketika kerja-kerja eskavasi yang diketuai Prof Nik Hasan Shuhami Nik Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dengan bantuan Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu.

Rangka tersebut yang dipercayai mayat seorang remaja zaman pra-sejarah yang menghuni gua tersebut dan ia ditanam dalam keadaan merengkok (seperti bayi dalam kandungan), masih dikekalkan di tempat asal ia ditemui.

“Penemuan artifak seumpama itu membuktikan Gua Bewah cukup berharga kepada kerajaan negeri dan kita akan terus memperkenalkan lokasi pelancongan itu di mata dunia.

“Kita tak bercadang untuk bawa pulang artifak yang ditemui dan kita akan kekalkan ia di sini dalam usaha menarik kedatangan pelancong ke negeri ini dan ke Tasik Kenyir.,” katanya ketika kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Khazanah Islam dari China, di Muzium Negeri, Losong, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw, Timbalan LMNT, Che Azmi Ngah dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Sempena pameran selama enam bulan dan bermula 1 Februari itu, senaskah al-Quran bersadur emas yang berusia lebih 500 tahun dari Dinasti Ming, China merupakan antara 80 artifak yang dipamer kepada pengunjung.

Menurutnya, pada masa sekarang kerja-kerja meningkatkan kemudahan untuk para pelancong di kawasan sekitar gua tersebut sedang dilakukan.

“Kita juga sedang menyediakan pelantar khas, bekas penutup kaca di kawasan rangka manusia yang tertua di negara ini ditemui, bagi tujuan keselamatan terhadap artifak yang sangat bernilai itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment