Peminat tempatan yang hadir menyaksikan saingan hari pertama Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 petang semalam lebih tertumpu kepada kelibat jaguh pecut negara, Mohd. Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa.
Kedua-dua pelumba ini berkayuh dalam acara pecut lelaki dan wanita elit di Velodrom Kuala Lumpur, Cheras.
Azizulhasni yang turun dalam misi mengutip satu pingat emas dalam ACC 2012 kali ini, jelas tidak menghampakan apabila berjaya melepasi halangan pertamanya dengan menewaskan pelumba Iran pada pusingan suku akhir lelaki elit.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu akan beraksi pada separuh akhir hari ini.
Bagaimanapun, seorang lagi pelumba elit negara, Mohd. Edrus Yunos gagal ke separuh akhir apabila tewas kepada pelumba Jepun.
Sementara itu, Fatehah juga berjaya layak ke separuh akhir wanita elit setelah mengalahkan pelumba Taiwan, Wang Jin Ning pada suku akhir dan turun beraksi di separuh akhir hari ini.
"Saingan daripada pelumba Taiwan di suku akhir hari ini agak sengit tetapi saya tidak menggunakan sepenuh tenaga kerana mahu beri tumpuan kepada separuh akhir esok (hari ini).
"Saya bersyukur kerana berjaya melepasi peringkat ini dan akan cuba memberi yang terbaik pada separuh akhir nanti untuk layak ke final dan kalau boleh memenanginya esok (hari ini)," kata Fatehah semalam.
Namun seorang lagi pelumba wanita elit negara, Ju Pha Somnet terpaksa akur di suku akhir selepas tewas kepada pelumba dari China.
Dalam kategori wanita remaja pula, Ummi Hamimah Mohamad berjaya mara ke final selepas menang pada saingan separuh akhir.
Begitupun, Lauretta Eva Adrian pula gagal melepasi peringkat tersebut.
No comments:
Post a Comment