Gadia yang direman pada Jumaat lalu menunjukkan alas kaki tempat seorang bayi ditemui di Kampung Beladau, Kepong, Kuala Terengganu.
Tanda tanya bayi siapa yang ditinggalkan atas alas kaki di depan pintu sebuah rumah di Kampung Beladau, Kepong dekat sini pada Jumaat lalu terungkai apabila bayi itu sebenarnya anak kepada wanita yang membuat laporan polis mendakwa menemui bayi itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, K. Manoharan berkata, tembelang pekerja sebuah kedai makan berusia 23 tahun itu terbongkar selepas polis menemui beberapa bukti mengaitkan kelahiran bayi berkenaan di salah sebuah bilik di rumah yang didiami wanita terbabit.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati wanita itu baru melahirkan bayi berkenaan secara bersendirian sebelum suspek membuat laporan polis pada Jumaat lalu mendakwa bayi itu diserahkan oleh seorang warga emas.
“Siasatan mendapati sebaik bersalin, wanita itu terus menyerahkan bayinya kepada seorang kakak angkatnya untuk dijaga beberapa hari.
“Selepas itu, kakak angkat wanita terbabit memulangkan semula bayi itu kepada si ibu,” kata Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Terengganu, semalam.
Berikutan itu polis semalam menahan wanita berkenaan dan penahanan wanita berusia 23 tahun itu berjaya menyelesaikan kes tersebut dan dia juga disiasat kerana membuat laporan palsu.
Wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai dan tinggal bersama keluarga angkatnya itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di rumah yang sama bayi lelaki itu ditemui.
"Polis menjalankan siasatan terperinci terhadap laporan yang dibuat suspek pada hari yang sama.
"Hasil siasatan itu, suspek mengaku membuat laporan palsu kononnya seorang warga emas meninggalkan bayi tersebut di hadapan rumahnya," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Media sebelum ini melaporkan mengenai bayi lelaki berusia lima hari ditinggalkan di hadapan rumah suspek oleh seorang wanita tua yang tidak dikenali.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, seorang nenek dalam lingkungan 70-an dan berasal dari Jerangau, Dungun dikatakan meminta wanita itu menjaga bayi berkenaan atau membuangnya.
Suspek yang dikatakan terkejut dengan kejadian itu kemudian memaklumkan kepada bapa angkatnya sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis hari yang sama.
Menurut Manoharan, pihaknya yang menemui keraguan pada laporan yang dibuat, kemudian memeriksa rumah berkenaan dan menemui beberapa barangan untuk persediaan kelahiran bayi berkenaan di dalam biliknya.
No comments:
Post a Comment