Seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah jenis metamphetamin bertindak merogol adiknya sendiri dengan mengugutnya menggunakan sebilah pedang dalam kejadian malam semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam di Kampung Gong Manok, Kuala Besut.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika lelaki berumur 30 tahun yang dibebaskan dari penjara 8 Februari lalu ke rumah adiknya berumur 24 tahun dan memaksanya untuk bersama mencari bapa saudara mereka yang tinggal tidak jauh dari situ.
Katanya, pada mulanya suri rumah yang mempunyai seorang anak itu enggan mengikutnya, namun terpaksa akur setelah abangnya mengugut dengan meletakkan sebilah pedang di kiri lehernya.
"Apabila sampai di tempat yang dituju, suspek dapati bapa saudara yang dicarinya tiada. Suspek kemudiannya memaksa adiknya ke bahagian semak di belakang rumah bapa saudaranya dan merogol adiknya di situ," katanya kepada pemberita selepas menyertai Ops Sektor yang diadakan di Kampung Lak Lok semalam.
Kamaruddin berkata, adiknya yang cuba melawan ditumbuk beberapa kali di bahagian perut oleh suspek.
Katanya, mangsa turut tercedera di bahagian leher akibat terkena pedang yang dipegang abangnya.
Mangsa yang berjaya melarikan diri tidak lama kemudian meminta pertolongan jiran untuk membuat laporan polis.
Tindakan pantas polis berjaya menahan suspek beberapa jam kemudian. Ujian awal air kencingnya mendapati suspek positif pil kuda.
Suspek yang dipenjara sebelum ini kerana kes berkaitan dadah juga mengakui telah mengambil pil kuda di Kuantan, Pahang sebelum ke Besut untuk mencari bapa saudaranya malam semalam.
No comments:
Post a Comment