Thursday, February 2, 2012

Bekas Pemain Kebangsaan Dalang Sindiket?

Benarkah wujudnya pembabitan bekas pemain kebangsaan sebagai dalang sindiket mengatur perlawanan bola sepak yang kembali menghimpit kancah bola sepak ketika ini?

Selepas laporan mengenai dakwaan pihak Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengenai pembabitan pemainnya dalam gejala itu yang disiarkan Arena Metro itu pada 17 Januari lalu beberapa siri siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis dilakukan, namun belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, kes itu masih dalam siasatan dan butiran terperinci tidak boleh didedahkan buat masa ini.

“Memang kita ada buat siasatan tapi tidak boleh didedahkan lagi,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes terbaru membabitkan pemain Perlis.

Sebelum ini arena bola sepak negara digemparkan dengan dakwaan sembilan daripada 11 pemain bola sepak Perlis yang beraksi pada perlawanan pertama menentang Majlis Perbandaran Muar, 9 Januari lalu, dikatakan mengadakan pertemuan dengan seorang ejen bookie yang juga bekas pemain bola sepak tempatan.

Dakwaan itu disuarakan Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendedahkan dalam pertemuan itu pemain terbabit termasuk awang import baru pasukan Perlis turut ditawarkan RM100,000 setiap seorang sebagai imbuhan menjual perlawanan.

Bagaimanapun Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan yang turut bersama Shamshun menghadiri mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam tidak menafikan siasatan turut membabitkan bekas pemain kebangsaan.

“Siasatan yang dilakukan menyeluruh membabitkan bekas pemain, pemain yang masih beraksi ketika ini, bekas pegawai dan pegawai yang masih bertugas, jangan fikir mereka boleh sembunyi.

“Kami sudah membentuk kerjasama dengan FAM sejak kehadiran Chris Eaton (Pegawai Keselamatan Fifa) tahun lalu. Kami sudah memberi penerangan kepada semua pasukan mengenai bahaya gejala rasuah dan hasilnya mutu bola sepak negara sudah meningkat, cuma baru-baru ini di Perlis ada sedikit tercemar.

“PDRM dan SPRM akan terus bekerjasama rapat dengan pihak persatuan dan untuk makluman kita kenal pasti sesiapa yang perlu kita siasat di peringkat bawahan,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment