Sunday, February 26, 2012

Buang bayi: Polis Terengganu Jejaki Nenek

Polis negeri ini menjejaki seorang wanita warga emas setelah dipercayai meninggalkan seorang bayi lelaki berusia lima hari di hadapan sebuah rumah di Kampung Beladau, Kepong di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, wanita berusia 70-an itu dikatakan datang ke rumah tersebut dengan ditemani seorang lelaki menunggu dalam kereta Proton Satria.

Wanita itu kemudian meletakkan bayi yang dibawanya di atas alas kaki di hadapan pintu rumah tersebut sebelum disedari penghuninya, Wan Syafira Wan Nazri, 23.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, wanita warga emas itu sempat memaklumkan kepada gadis berkenaan supaya menjaga bayi tersebut sebelum tergesa-gesa meninggalkan rumah itu.

“Gadis tersebut bagaimanapun tidak sempat berkata apa-apa dan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga selepas kejadian. Dia gagal mengecam identiti wanita berkenaan,” katanya di Kuala Terengganu semalam.
.

Jelas Manoharan, bayi yang cukup sifat itu kini ditempatkan di wad bayi di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil memberi keterangan di balai polis berdekatan.

No comments:

Post a Comment