Siri Piala Dunia Klasik London yang berakhir kelmarin yang menyaksikan pelumba trek berbasikal sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang gagal menyerlah dalam kedua-dua acara yang disertainya iaitu keirin dan pecut.
Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu mengakui pada separuh akhir keirin Sabtu lalu, nasibnya kurang baik apabila pelumba Britain, Matthew Crampton terjatuh yang menghalangnya untuk mengorak langkah ke depan.
"Bukan rezeki saya pada saingan Siri Piala Dunia Klasik yang terakhir untuk musim 2011/2012.
"Saya hanya berjaya menempah tempat ke separuh akhir dalam acara aksi keirin disebabkan insiden yang berlaku ketika perlumbaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia melalui laman sosial, Facebook semalam.
Dalam acara pecut pula, pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman itu sekadar menduduki tempat ke-25 daripada 56 pelumba yang mengambil bahagian.
Dia terkandas pada peringkat kelayakan selepas mencatat masa 10.420 saat.
Seorang lagi pelumba negara, Muhammad Edrus Md. Yunos hanya menduduki tempat ke-40 (10.647s) acara yang sama.
"Selain kemalangan yang menghalang saya untuk mencatat keputusan baik pada saingan keirin, deman juga menjadi faktor utama kerana aksi yang kurang memberangsangkan kali ini, saya juga gagal menyerlah pada saingan pecut.
"Semasa saingan separuh akhir keirin tersebut, Crampton terjatuh menyebabkan saya tersekat di belakang.
"Crampton gagal menamatkan perlumbaan sementara saya pula gagal mengejar Chris Hoy (Britain), Teun Mulder (Belanda) dan Rene Enders (Jerman) ketiga-tiga mereka berjaya ke saingan akhir," katanya.
No comments:
Post a Comment