Tuesday, February 21, 2012

Peniaga Rugi RM80,000 Disamun Empat Lelaki Bersenjata

Empat sekeluarga mengalami detik-detik cemas apabila empat lelaki bersenjatakan alat pemotong, parang dan kayu memecah masuk dan menyamun rumah mereka di Kampung Gemuruh, Tepoh, di Kuala Terengganu awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 3.15 pagi itu, mangsa, Ali Omar, 60, dan keluarganya sedang nyenyak tidur sebelum rumah mereka diceroboh penjenayah yang melarikan barangan berharga kira-kira RM80,000 termasuk tunai RM50,000 yang baru dikeluarkan dari bank untuk membayar pinjaman.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata, empat lelaki bertopeng yang memecah masuk rumah pemilik kedai runcit dan kafe siber itu dipercayai warga Indonesia daripada dialek percakapan mereka.

Katanya suspek bertopeng yang bersenjatakan parang dan kayu yang diambil dari rumah itu masuk melalui pintu belakang berdasarkan kesan umpilan pada pintu berkenaan.

"Suspek bertindak mengikat pasangan suami isteri itu serta dua anak yang berusia 34 dan 17 tahun menggunakan dawai dan tali nylon," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment