Sunday, February 19, 2012

Di Sebalik Kecemerlangan Akademik, Tahap Kuasai Tulisan Jawi Membimbangkan

Zubir Embong (belakang dua dari kiri) dan Syed Anuar Syed Mohamad (kiri) melihat pemenang bagi pertandingan tulisan jawi dari kiri, Sharifah Nurul Fathimah Syed Omar, Nina Syukriah Ahmad Zabidi dan Muhammad Muizz Razi di SMK Sultan Ahmad Kuala Terengganu, semalam.

Tahap penguasaan jawi di kalangan pelajar sekolah berasrama penuh dan di sekolah-sekolah agama ternama di negeri ini agak membimbangkan di sebalik kecemerlangan akademik mereka.

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Terengganu menyimpulkan keadaan itu berasaskan tinjauan beberapa pihak termasuk Jabatan Pelajaran sendiri.

Setiausahanya, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, masih terdapat kalangan pelajar gagal menulis dan membaca jawi, sedangkan ia merupakan asas bagi subjek teras iaitu bahasa Arab dan sumber penguasaan al-Quran.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak-pihak berkenaan agar mengambil langkah pro-aktif dengan mewajibkan para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke sekolah seumpama itu menduduki ujian khas tulisan jawi.

"Ujian khas tulisan jawi itu perlu dijadikan sebagai syarat tambahan kepada pengambilan pelajar untuk meneruskan pengajian mereka ke sekolah agama," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Memperkasakan Tulisan Jawi Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad di Kuala Terengganu, semalam.

Pelancaran program anjuran Gagasan Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah itu disempurnakan oleh Pengerusi Masjid Kristal Taman Tamadun Islam (TTI), Datuk Zubir Embong.

Hadir sama, Penolong Pengarah Yayasan Terengganu (YT) yang juga Yang Dipertua Gagasan Kuala Terengganu, Dr. Wan Shaari Wan Ismail; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Abdullah Abd. Rahman dan Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Wilayah Timur, Ahmad Din Mahmud .

Syed Anuar juga menyarankan supaya Kementerian Pelajaran menjalankan kajian teliti mengenai perkara itu termasuk meminda sukatan pelajaran sedia ada dalam usaha menarik minat pelajar terhadap tulisan jawi.

Beliau yang memuji usaha Utusan Malaysia yang terus mempertahankan tulisan jawi berharap agar akhbar sisipannya menggunakan ejaan yang diselaraskan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurutnya, langkah itu demi kepentingan semua pihak khususnya para pelajar agar tidak timbul kekeliruan mengenai ketepatan ejaan jawi apabila wujud dua versi yang berbeza.

Sementara itu, bagi menjayakan program tersebut, sebanyak 4,800 naskah akhbar sisipan Utusan Melayu Mingguan (jawi) diedarkan kepada lapan buah sekolah rendah sekitar daerah ini untuk selama lapan minggu bermula 13 Februari lalu hingga 21 Mei ini.

Sepanjang tempoh itu, beberapa siri pertandingan akan diadakan termasuk buku skrap, menulis jawi, membaca jawi dan sudut jawi.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment