Sunday, February 19, 2012

Malaysia Akhiri Misi ACC 2012 Tanpa Sebarang Pingat

Zamri(depan) berada di kelompok hadapan ketika mengharungi perlumbaan di Putrajaya semalam. Namun, dia sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Malaysia gagal menambah koleksi pingat dalam saingan lebuh raya Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 yang melabuhkan tirainya di Putrajaya semalam.

Turun dalam misi memburu pingat kedua selepas Muhamad Adiq Husainie Othman menghadiahkan perak dalam kategori lelaki Bawah 23 tahun kelmarin, kem negara bagaimanapun terpaksa menggigit jari dalam saingan lelaki elit kali ini.

Dalam saingan sejauh 179.2 kilo- meter itu, hanya Mohd. Zamri Salleh yang berjaya memberi saingan kepada pelumba-pelumba handalan Asia yang lain dengan menamatkan cabaran di tempat keempat dalam kelompok masa 4 jam 10 minit 33 saat.

Seorang lagi pelumba negara, Mohd. Hariff Salleh turut beraksi cemerlang sepanjang perlumbaan meskipun menduduki tempat ke- 12 dengan ketinggalan 32 saat di belakang peloton hadapan.

“Pertama sekali saya ingin meminta maaf kepada peminat Malaysia kerana gagal memenangi sebarang pingat dalam acara ini,” kata Zamri yang mewakili pasukan Terengganu Pro Asia (TSG).

“Misi saya pada perlumbaan ini ialah untuk menaiki podium, namun jelas sekali saingan kali ini amat sukar dengan kehadiran beberapa pelumba profesional yang lain seperti Wong (Kam Po), Meh- di (Sourabi) dan Amir Zargari.

“Walaupun kecewa, saya rasa saya sepatutnya berasa bangga kerana dapat menempatkan diri dalam kelompok empat pelumba terbaik. Bukan mudah untuk melakukannya, apatah lagi dengan kehadiran pelumba-pelumba handalan ini.”

Pingat emas acara itu dimena- ngi oleh Kam Po dari Hong Kong yang juga juara acara lebuh raya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Pelumba Iran, Mehdi pula memenangi pingat perak, manakala gangsa menjadi milik pelumba Jepun, Taiji Nishitani.

Dua lagi pelumba negara – Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Akmal Amrun – masing-masing menamatkan saingan di tempat ke-43 (4’11:13s) dan ke-51 (4’23:18s).

“Saya dan rakan-rakan sepasukan lain sebenarnya berjaya menjalankan tugas masing-masing dengan baik sekali.

“Tugas saya adalah mengawasi pelumba yang melakukan serangan, manakala Akmal dan Amir mengekori pelumba yang melaku- kan breakaway dan Hariff pula se- bagai pelumba pecut.

“Semuanya berjalan dengan baik sehinggalah beberapa pelumba mula melakukan breakaway pada 300 meter terakhir.

“Ketika itu, Hariff sudah jauh di belakang, jadi saya terpaksa memerah segala tenaga yang ada untuk mengejar mereka.

“Kira-kira 50 meter sebelum garisan penamat, saya kehabisan tenaga dan gagal menyaingi tiga pelumba di depan yang melakukan pecutan,” jelasnya lagi.

Selepas berakhirnya saingan kategori elit semalam, skuad lebuh raya negara hanya mampu mengu- tip satu pingat perak sahaja mene- rusi Adiq pada hari keempat kelmarin.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment