Sunday, February 19, 2012

Fatehah Terkandas, Edrus ke-18 Piala Dunia Klasik

Edrus (tengah) menunjukkan pingat emas pada acara 1 kilometer Ujian Masa ACC3912 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Fatehah Mustapa terkandas di pusingan awal pecut wanita apabila sekadar menduduki tempat ke-24 dengan melakukan catatan masa 11.571s pada Siri Piala Dunia Klasik London kelmarin.

Pemenang pingat emas acara 1 kilometer ujian masa Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012, Muhamad Edrus Yunus pula menduduki tempat ke-18 acara tersebut

Edrus mencatat masa 1:06.289 saat dalam perlumbaan yang dimenangi pelumba Jerman, Stefan Nimke (1:01.211s), tempat kedua Mickael D'Almeida dari Perancis (1:02.036s) dan ketiga pelumba New Zealand, Simon Van Velthooven (1:02.048s)

Menurut Edrus, catatan di London lebih baik berbanding di Velodrom Kuala Lumpur minggu lepas dengan masa 1:06.547s.

"Saya tetap berpuas hati walaupun masa hanya berbeza sedikit sahaja berbanding minggu lepas di Kuala Lumpur. Ini adalah satu peningkatan buat saya, ia adalah masa terbaik saya dalam acara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Perlumbaan yang disertai 24 pelumba itu menyaksikan Edrus muncul pelumba ketiga terbaik Asia, di belakang jaguh China, Zhang Miao (kelima) manakala pelumba Taiwan, Wu Pu Hung ke-17.

"Mungkin selepas ini saya perlu berlatih dengan lebih keras menjelang kejuaraan trek dunia yang akan diadakan di Melbourne April depan untuk terus mencatatkan masa yang lebih pantas walaupun acara ini tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik 2012 London," katanya.


No comments:

Post a Comment