Sunday, February 19, 2012

PUM Cadang Sesi Penerangan Mengenai Isu Forex

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mencadangkan pihak berkuasa mengadakan sesi penerangan mengenai pengharaman aktiviti perdagangan mata wang asing atau forex melalui internet.

Setiausaha Agung PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata penerangan pihak berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat memastikan kefahaman mendalam umat Islam di negara ini terhadap isu itu.

"PUM juga mencadangkan kepada semua Jawatankuasa Fatwa Negeri mewartakan di negeri berkaitan keputusan dicapai di peringkat muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan supaya mempunyai kesan undang-undang ke atas umat Islam," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

"Umat Islam disyorkan membuat rujukan terus kepada institusi berautoriti seperti JAKIM, Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memastikan apa jua transaksi dan urus niaga kewangan menepati piawaian syariah dan undang-undang," katanya.

Rabu lepas, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan perdagangan mata wang individu melalui internet menggunakan broker sebagai haram kerana tidak memenuhi kehendak syarak.

No comments:

Post a Comment