Gas Malaysia Bhd memeterai Perjanjian Bekalan Gas baharu dengan Petroliam Nasionl Bhd (Petronas) hari ini bagi bekalan sehingga 534,143 Gigajoules (bersamaan dengan 492 juta kaki padu standard sehari (MMScfd)) gas asli.
Gas Malaysia dalam satu kenyataan berkata tenur perjanjian itu adalah bagi tempoh 10 tahun dari 1 Jan, 2013 hingga 31 Dis, 2022, dengan pilihan lanjutan lima tahun lagi, tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Perjanjian itu dimeterai oleh naib presiden Prasarana dan Utiliti Petronas Pramod Kumar Karunakaran dan pengerusi Gas Malaysia Datuk Hamzah Bakar.
Perjanjian bekalan gas baharu akan menggantikan perjanjian sedia ada yang berakhir pada 31 Dis, 2012 bagi jumlah bekalan gas 382 MMScfd, kata Gas Malaysia.
Kontrak itu bertujuan menyediakan jaminan bekalan jangka panjang gas asli kepada pelanggan sedia ada Gas Malaysia, manakala tambahan 110 MMScfd akan membolehkan ia mengembangkan bekalan kepada pelanggan baharu.
Ia dijangka memberi sumbangan positif kepada pertumbuhan Gas Malaysia di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment