Pelumba Itali Andrea Guardini terus mendominasi kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) dengan mencipta hatrik apabila meraih kejayaan ketiga di peringkat keempat perlumbaan semalam.
Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan Farnese Vini-Selle Italia itu memecut laju meninggalkan peserta lain untuk ke garisan penamat dalam perlumbaan sejauh 169.4 kilometer dari Batu Pahat ke Muar.
Kerjasama rakan sepasukan sekali lagi membolehkan beliau berada di posisi terbaik untuk memecut terus ke garisan penamat di depan kelompok 128 pelumba.
Untuk rekod, Guardini merupakan pelumba kedua yang meraih kemenangan secara hatrik dalam sejarah LTdL selepas peserta Itali, Alberto Loddo dari pasukan Selle Italia Serramenti Diquigiovanni, menciptanya pada edisi 2007.
Kejayaan semalam turut menyaksikan Guardini mencatat lapan kemenangan sejak kemunculan pertama tahun lepas, dan hanya ketinggalan satu peringkat di belakang Graeme Brown dari pasukan Ceramiche Panaria-Navigare yang meraih sembilan kemenangan dalam LTdL.
Pelumba pasukan Farnese Vini-Selle Italia itu ternyata sukar dihalang apabila dia melakukan henjutan bertenaga pada satu kilometer terakhir sekali gus menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 57 minit dan 11 saat.
Tempat kedua dimenangi pelumba United Healthcare, Jacobe Keough, manakala pelumba Terengganu Pro Asia (TSG), Mohd. Harrif Salleh menaiki podium buat kali pertama pada edisi ini dengan menduduki tempat ketiga.
Nasib malang pula menimpa seorang lagi pelumba sensasi negara, Anuar Manan setelah tayar basikal pelumba Champion System itu pancit dua kali, sekali gus menjejaskan misinya untuk memenangi perlumbaan semalam dengan sekadar berada di tempat ketujuh.
"Hari ini (semalam) saya agak keletihan kerana terpaksa mengejar peloton hadapan sebanyak dua kali kerana tayar basikal pancit.
"Situasi ini memaksa saya menggunakan sepenuh tenaga yang ada untuk kembali ke peloton hadapan dan walaupun dapat juga mengejar mereka di saat-saat akhir, namun semuanya sudah terlambat.
"Guardini bukan calang-calang pelumba. Dia seorang pelumba yang memiliki kayuhan pantas dan juga seorang yang bijak. Amat sukar untuk mengalahkannya," jelas Anuar semalam.
Situasi itu menyaksikan Anuar turun ke tempat ketiga dalam persaingan Jersi Biru (Raja Pecut) dengan mengumpul 35 mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Guardini.
Sementara itu, David Zabriskie sekali lagi berjaya mempertahankan Jersi Kuning sebagai pendahulu keseluruhan, manakala Jersi Merah (Raja Bukit) pula masih kekal menjadi milik Floris Goesinnen daripada Drapac Cycling.
Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia turut kekal dalam genggaman Dmitriy Gruzdev, sementara pasukan Garmin Barracuda masih mendahului kategori berpasukan keseluruhan.
No comments:
Post a Comment