Tuesday, February 28, 2012

Projek Penyeragaman Harga Diperluas Ke Lebih 1,000 Kawasan Seluruh Negara Tahun Ini

Projek Penyeragaman Harga (PPH) yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meliputi 1,022 kawasan di seluruh negara tahun ini.

Ketua Setiausahanya Datuk Saripuddin Kasim berkata daripada jumlah itu, 624 adalah kawasan sambungan projek sebelum ini, manakala 398 lagi merupakan kawasan baru.

"Dengan pertambahan kawasan maka lebih ramai penduduk luar bandar dapat menikmati harga barangan bersubsidi pada harga yang sama seperti pengguna di bandar," katanya di Kuala Lumpur semalam.

Saripuddin berkata Sarawak merupakan negeri yang paling banyak mempunyai kawasan PPH iaitu 485 diikuti Sabah dengan 460 kerana kedua-dua negeri tersebut mempunyai muka bumi yang luas.

Katanya selain Sarawak dan Sabah, negeri lain di Semenanjung yang turut terpilih untuk pelaksanaan PPH ialah Kedah, Kelantan, Perak, Pahang serta Terengganu.

Saripuddin berkata program tersebut telah berjalan dengan lancar serta memberi impak yang amat besar kepada penduduk di kawasan pedalaman.

"Sebagai contoh harga untuk 10 kilogram beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) di beberapa kawasan di Sarawak mencecah sehingga RM45 sekilogram sebelum penyeragaman harga dibuat, namun selepas PPH dilaksanakan ia dijual dengan harga hanya RM18 sekilogram," katanya.

Selain itu, Saripuddin berkata peniaga dan peruncit boleh memilih untuk menjual produk yang tidak termasuk dalam senarai barang kawalan utama seperti beras ST15, gula, tepung serta minyak masak mengikut keperluan utama penduduk di sesuatu tempat.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM200 juta setiap tahun untuk menampung kos pengangkutan barang ke kawasan pedalaman, maka peniaga dan peruncit tidak boleh lagi menaikkan harga barang sesuka hati.

Saripuddin juga berharap supaya pihak media massa dapat memberi publisiti meluas kepada projek tersebut kerana ia sangat berfaedah dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat di kawasan pedalaman.

No comments:

Post a Comment