Tuesday, February 21, 2012

Guru Tadika YIT Diwajibkan Mempunyai Diploma Prasekolah

Semua guru tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT) akan diwajibkan memiliki Diploma Pendidikan Prasekolah dalam tempoh tiga tahun lagi sebagai usaha yayasan itu memantapkan kualiti pendidikan awal kepada murid-muridnya.

Pengarah YIT, Md Kamaru Al Amin Ismail berkata sehingga kini seramai 126 daripada 197 orang guru seluruh Terengganu sedang mengikuti kursus lanjutan pendidikan prasekolah ketika musim cuti yang bermula November tahun lalu dan dijangka tamat pada tahun 2014.

"Yayasan komited dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang akademik serta sahsiah diri sekaligus menjadi peneraju utama dalam pendidikan awal kanak-kanak di negeri Terengganu.

"Ini memerlukan pengorbanan besar daripada guru-guru yang sanggup bertungkus-lumus menyambung pelajaran ke peringkat diploma bagi memastikan kualiti dan sistem pendidikan menepati piawaian yang ditetapkan yayasan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu, semalam

Seramai 43 guru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini mengikuti Program Diploma Pendidikan Prasekolah di Institut Perguruan (IPG) Datuk Razali di sini manakala 83 orang guru yang sudah mempunyai kelulusan ijazah dan diploma juga diwajibkan mengikuti kursus itu di IPG Sultan Mizan di Besut.

Beliau berkata walaupun sudah mempunyai ijazah dan diploma, namun guru-guru berkenaan tetap diwajibkan mengikuti kursus diploma anjuran YIT kerana ijazah yang dimiliki sebelum ini tidak menjurus kepada sistem pendidikan awal sekolah.

"Pelaksanaan ini adalah prosedur baru YIT dalam urusan pengambilan guru tadika yang mewajibkan guru memiliki Diploma Prasekolah kerana sebelum ini syarat pengambilan guru tidak begitu ketat," katanya.

Selain itu, katanya program menghafal surah Yaasin beserta terjemahan yang dimulakan di semua 18 cawangan tadika YIT pada tahun 2006 akan diteruskan hasil maklum balas ibu bapa yang kagum dengan kebolehan anak mereka menghafal surah berkenaan.

Program hafalan itu adalah sebagai langkah awal YIT membentuk generasi cemerlang dan celik al-Quran selaras dengan hasrat Terengganu yang dikenali sebagai negeri anjung ilmu.

No comments:

Post a Comment