Sunday, February 26, 2012

Henjutan Guardini Mula diGeruni di LTdL 2012

Guardini mendepangkan tangannya selepas melintasi garisan penamat pada peringkat kedua LTdL 2012 di Melaka semalam.

Perlumbaan peringkat kedua kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 menjadi milik Andrea Guardini selepas pelumba pasukan Farnese Vini-Selle itu menjuarai saingan dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151 kilometer (km) semalam.

Pelumba kelahiran Itali itu mengetuai peloton hadapan selepas melaku- kan henjutan bertenaga kira-kira 100 meter ke garisan penamat dengan catatan masa 3 jam 35 minit 19 saat.

Catatan itu sekali gus mengatasi pe- lumba United Healthcare, Jacobe Keough di tempat kedua dan Christian Delle Stelle dari pasukan Colnago CSF Inox di tempat ketiga.

"Akhirnya saya berjaya juga mencatat kemenangan di Malaysia. Sudah lama saya tidak memenangi sebarang perlumbaan dan ini juga perlumbaan keempat saya tahun ini.

"Saya amat memerlukan kemenangan di Malaysia ini. Ia suatu penca- paian yang sangat melegakan," kata Guardini pada sidang media semalam.

Begitupun, kejayaan Guardini itu masih belum cukup baginya untuk merampas Jersi Kuning selaku penda- hulu keseluruhan daripada pemenang peringkat pertama kelmarin, David Zabriskie dari pasukan Garmin Barra- cuda yang kini mendahului dengan kelebihan masa satu minit.

"Perlumbaan hari ini (semalam) lebih sukar daripada apa yang saya jang- kakan. Saya tidak sangka masih mampu mengekalkan Jersi Kuning ini kerana saya sudah kehabisan tenaga pada 20km terakhir.

"Apa pun, saya tetap berterima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak membantu saya. Mereka menjalankan tugas dengan baik sekali," kata Zabriskie.

Sementara itu, pelumba Champion System, Anuar Manan muncul pelumba terbaik Malaysia pada saingan semalam selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Loh Sea Keong daripada pasukan OCBC Singapura pula hampir berjaya memenangi Jersi Biru selaku Raja Pecut selepas memenangi tiga zon pecutan di Salak Tinggi, Port Dickson dan Masjid Tanah untuk mengumpul 15 mata bagi menyamai kutipan Guardini yang mempertahankan jersi tersebut.

Jersi Merah selaku Raja Bukit pula menjadi milik Floris Goesinnen dari Drapac Cycling, manakala pelumba Astana, Dmeitriy Gruzdez berjaya mempertahankan Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia.

Perlumbaan peringkat ketiga LTdL 2012 akan bermula dari Melaka ke Parit Sulong sejauh 187.6km melibatkan tiga zon pecutan iaitu Tangkak - (51.9km), Labis (119.3km) dan Chaah (136.2km) serta satu zon pendakian, Bukit Belah (176.7km).

Kosmo!

No comments:

Post a Comment