Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang baru pulang dari menyertai tiga kejohanan di Eropah akan menjalani latihan intensif sebulan di Kuala Terengganu dalam misinya memburu kelayakan ke Olimpik London Julai depan.
Pemegang rekod kebangsaan dengan ketinggian 2.27 meter di Terbuka China 2008 itu berkata, latihan di luar Kuala Lumpur di bawah bimbingan jurulatih Joe Luis Alfaro Qiunoes itu bertujuan memberi tumpuan khusus kepada memperbaiki teknik lompatan sebelum dia memulakan misi sebenar memburu kelayakan ke London di Kejohanan Olahraga Grand Prix Asia di Bangkok, Mei depan.
“Di Eropah, saya sekadar mencatat 2.15 meter sebagai pencapaian terbaik, tetapi jika dapat memperbaiki teknik lompatan, saya yakin mampu melompat lebih tinggi,” katanya yang yakin mampu mencecah ketinggian 2.28m untuk kelayakan ke Olimpik.
Pada kejohanan di Eropah baru-baru ini, atlit kelahiran Dengkil, Selangor yang meraih kemenangan hatrik emas Sukan SEA di Indonesia November lalu, melakukan catatan 2.15m meter di Austria dan masing-masing 2.15m dan 2.14m pada dua kejohanan di Republik Czech.
Hup Wei berkata, penyertaannya pada tiga kejohanan di Eropah itu lebih kepada menguji keupayaannya selepas pulih daripada pembedahan buku lali kiri, Mac tahun lalu.
Menurutnya, ketika menang emas di Sukan SEA Palembang lalu dengan ketinggian 2.15m, tahap kecergasannya hanya kira-kira 80 peratus.
“Kini saya sudah pulih sepenuhnya dan akan ke Kuala Terengganu dua minggu lagi sebelum kembali menyambung latihan di Kuala Lumpur, dan terbang ke Bangkok.
Jika gagal di Bangkok, saya akan sekali lagi ke Eropah untuk meneruskan misi terakhir memburu kelayakan ke Olimpik,” katanya.
No comments:
Post a Comment