Saturday, February 18, 2012

Ibu Tidak Putus Doa Anak Sedar Daripada Koma

“Setiap detik saya memikirkan keadaan anak dan berdoa dia sedar daripada koma secepat mungkin,’’ kata Norizah Zakaria, 41, ibu kepada Nor Hidayah, 7, yang masih kritikal selepas terjatuh ke dalam longkang di Kampung Mak Chili, Chukai, Selasa lalu.

Norizah yang ditemui di Wad Rawatan Intensif Pediatrik dan Penjagaan Bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu, semalam berkata, keadaan anak bongsunya belum menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Katanya, dia tidak dapat menahan sebak apabila melihat keadaan Nor Hidayah dipenuhi wayar di tubuh selain terpaksa menggunakan bantuan mesin pernafasan sepenuhnya.

“Sebelum ini dia boleh menggerakkan jari dan lidah namun hari ini (semalam) keadaan Nor Hidayah berubah sama sekali.

“Saya sebak doktor memberitahu tubuh anak tidak menunjukkan sebarang tindak balas ketika diperiksa.

“Ketika menjalankan imbasan pada otaknya, doktor masih tidak menemui sebarang tanda positif dia akan tersedar daripada koma,’’ katanya.

Sementara itu, bapa Nor Hidayah, Mohamad Embong, 47, berkata, selepas kejadian menimpa anaknya disiarkan Harian Metro semalam, ramai saudara mara serta kenalan menghubungi memintanya tabah selain memberikan kata-kata semangat.

Menurutnya, dia dan isteri hanya mampu berdoa agar Nor Hidayah dipanjangkan umur serta segera sedar.
“Walaupun masih bertarung nyawa, namun saya dapat rasakan Nor Hidayah boleh bangkit selepas mendengar seruan suara daripada kami sekeluarga,’’ katanya.

Mohamad berkata, dia bimbang air yang memasuki bahagian otak Nor Hidayah akan menyebabkan fizikal anaknya gagal menerima isyarat sekali gus membuatkan sistem dalam badan gagal berfungsi.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment