Monday, February 20, 2012

Imej Baru Pasar Cabang Tiga

Keluhan peniaga dan rasa tidak selesa pembeli ketika berkunjung ke Pasar Chabang Tiga, di Kuala Terengganu tentunya berakhir apabila atap bocor yang sering membuatkan lantai licin dan barangan rosak diganti baru.

Menurut Pengerusi Persatuan Penjual-penjual Melayu Pasar Chabang Tiga, Mohd Long, kerja pemasangan atap baru pasar itu diadakan secara gotong-royong, semalam.

“Kami mendapat peruntukan daripada Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu untuk menggantikan atap yang bocor ini,” katanya.

Kata Mohd, terdapat 10 peniaga kedai runcit di pasar tersebut yang menjadi mangsa ketidakselesaan apabila hujan.

“Atap sedia ada dipasang pada 2006 dan banyak tempat yang berlubang, apabila hujan lantai pasar licin dan barang rosak sehingga menjejaskan perniagaan, tetapi selepas kerja pemasangan atap baru ini tentunya masalah itu tidak lagi dihadapi,” katanya.

Katanya, pemasangan atap baru itu juga tentunya akan memberi imej yang lebih menarik dan segar pasar berkenaan dan diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian sewaktu program gotong-royong memasang atap di laluan kedai runcit di Pasar Chabang Tiga, semalam yang disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Strategi Umno Bahagian Kuala Terengganu, Othman Endut.

Kata Mohd, jumlah peniaga di pasar tersebut yang mendaftar sebagai ahli persatuan kini 300 orang.

Persatuan peniaga yang ditubuhkan pada 1986 itu sering mengadakan acara sukaneka untuk ahli dan keluarga bagi merapatkan hubungan.

No comments:

Post a Comment