Wednesday, February 15, 2012

Islam Tidak Larang Bercinta Asal Ikut Syarak - Imam Besar

Orang ramai khususnya yang beragama Islam dinasihatkan supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat gejala maksiat.

Imam Besar Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, menyambut Hari Kekasih bukanlah budaya masyarakat Islam, malah ia wajar dijauhi kerana khuatir akan membawa kepada perbuatan tidak sihat terutama golongan remaja.

Katanya, agama Islam tidak melarang penganutnya untuk bercinta mahupun berkasih sayang tetapi haruslah berlandaskan kepada batas-batas dan juga syarak yang telah ditetapkan.

“Saya menyeru orang ramai khususnya masyarakat Islam di negara ini supaya menjauhi sebarang program dan majlis sambutan Hari Kekasih kerana ia bertentangan dengan ajaran agama kita selain berisiko membawa kepada berlakunya maksiat.

“Ibu bapa perlu ambil peranan, pastikan anak-anak remaja berada di rumah esok (14 Februari) dan tidak terlibat dalam menyambut sambutan tersebut atau mengadakan pertemuan secara sulit,” katanya.

Menurutnya, hal tersebut perlu dibanteras sedari awal supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini kerana menyesal kemudian tidak berguna.

Aizi Saidi berkata, hari itu lebih menjadi ingatan kerana dimeriahkan dengan peniaga yang menjual pelbagai bentuk hadiah dan cenderamata dengan bertemakan sambutan Hari Kekasih.

Beliau juga menyarankan kepada pihak berkuasa supaya mengambil tindakan sekiranya ada sambutan sedemikian.

“Hebahan secara meluas perlu dilakukan, agar sekiranya ada kalangan mereka ini bercadang atau ada keinginan ingin menyambutnya, membatalkan hasrat tersebut dengan segera,” katanya..

Beliau juga menolak cadangan supaya Hari Kekasih ditukar kepada Hari Suami Isteri kerana penukaran nama tetap tidak menyelesaikan masalah.

“Hubungan suami-isteri perlu dipupuk setiap hari, tiada hari tertentu apatah lagi sambutan. Jika ditukar nama sekalipun tapi tetap disambut pada tarikh 14 Februari, tiada bezanya.

“Hari tersebut akan tetap diingati juga, sedangkan hakikatnya kita tidak boleh mengingati tarikh tersebut,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment