Isteri pemimpin di pelbagai peringkat perlu berperanan dengan melibatkan diri menyambut kehadiran kepimpinan tertinggi ke sesuatu lokasi, kerana ia mampu menggambarkan sokongan kepada kerajaan, sekali gus berupaya menarik pengundi ‘atas pagar’.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, walaupun peranan sedemikian dilihat kecil, namun sebenarnya ia memberi impak begitu besar apatah lagi kebiasaannya, senario pengundi atas pagar hanya akan memilih parti yang kuat.
“Walaupun tidak terlibat secara langsung, tetapi apabila isteri barisan pemimpin termasuk jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) turun padang menemani suami mereka, ia memperlihatkan sokongan kuat bukan sahaja kepada individu diraikan itu tetapi juga kepada kerajaan.
“Sokongan sebeginilah menjadi titik penting yang mampu menarik perhatian serta sokongan pengundi atas pagar untuk memilih kerajaan sewaktu membuang undi pada pilihan raya kerana golongan ini hanya akan menyokong parti yang kuat serta kukuh sahaja,” katanya.
Menurutnya, memandangkan pilihanraya umum akan datang bakal diadakan tidak lama lagi, diharapkan golongan isteri dapat segera memainkan peranan mereka dalam memberi sokongan.
“Malah, ia juga sebenarnya diperhatikan dan dijadikan contoh oleh masyarakat kampung.
“Kalau dilihat, ada program libatkan kehadiran kepimpinan tertinggi, hanya suami iaitu barisan JKKK hadir sebagai sambutan keraian, sedangkan isteri hanya duduk di rumah. Keadaan ini diharap dapat diubah sebaliknya biarlah isteri bersama-sama suami memeriahkan majlis sambutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena majlis perasmian Bengkel ‘Ibu Kampung’- Kemahiran Pendampingan Masyarakat kepada Isteri-isteri JKKK Parlimen Kuala Nerus, di Tok Jembal, semalam anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) yang disertai 95 isteri barisan JKKK daripada Parlimen Kuala Nerus.
Bengkel sehari itu dilaksanakan YPKT bagi memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kemahiran dan teknik pendampingan berkesan serta tingkatkan keupayaan untuk bergandingan dengan suami sebagai pemimpin setempat.
Menurutnya, isteri juga berupaya menentukan jatuh bangun suami bergelar pemimpin dan lantaran itulah mereka perlu memainkan peranan, termasuk menghargai serta melayani sebaik mungkin rakyat yang bertandang ke rumah, kerana ia memberikan persepsi tersendiri bagi diri penduduk terlibat.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment