Friday, February 3, 2012

Pelumba Negara Mampu Bersaing - Abu Samah

Skuad basikal lebuh raya negara berhajat untuk mencipta kejutan pada Kejuaraan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 di Kuala Lumpur pada 14 hingga 18 Februari ini.

Meskipun sedar saingan kali ini lebih hebat, presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Wahab bagaimanapun tetap optimis pelumba negara mampu memenangi satu pingat tanpa mengira warna dalam acara lebuh raya.

Abu Samah menjelaskan, saingan ACC 2012 kali ini bakal menampilkan pelumba-pelumba handalan dunia daripada 27 negara seperti Iran, Jepun, Hong Kong dan juga Kazakhstan yang menurunkan barisan pelumba pasukan Astana.

"Pada ACC kali ini, kita hanya meletakkan sasaran satu pingat tidak kira sebarang warna," kata Abu Samah selepas Mesyuarat Pemilihan Pelumba Ke ACC 2012 dan LTdL 2012 di Bukit Jalil semalam.

"Jurulatih (Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan) telah memberitahu bahawa semua pelumba kita berada dalam prestasi yang baik ketika latihan.

"Oleh itu, saya berharap pelumba-pelumba kita mampu mencipta kejutan dan sekurang-kurangnya memberi saingan kepada pelumba-pelumba lain," tambahnya lagi.

Cabaran skuad negara pada ACC 2012 ini akan digalas pelumba sensasi, Anuar Manan, Muhd. Akmal Amrun (gambar atas), Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Zamri Salleh manakala Mohd. Hariff Salleh dan Mohd. Nor Rizuan Zainal sebagai pelumba simpanan.

Abu Samah menjelaskan dua pelumba yang diharapkan untuk mencipta kejutan dalam acara lebuh raya nanti ialah Anuar dan Akmal.

"Sudah tentu kita letakkan harapan yang besar terhadap Anuar kerana dia masih lagi seorang pelumba pecut yang baik, begitu juga dengan seorang lagi pelumba pecut kita iaitu Akmal.

"Saya juga harap agar Anuar dapat mempamer prestasi sebenarnya dalam acara ini kerana laluan yang kita pilih semuanya laluan rata dan mendatar, jadi ia satu kelebihan kepada Anuar dan juga Akmal," ujar Abu Samah lagi.

Sementara itu, dalam acara ujian masa individu pula, Malaysia mempertaruhkan Muhd. Fauzan Ahmad Lutfi dan Ng Yong Li.

Acara lebuh raya bagi kategori bawah 23 tahun pula akan diketahui oleh pelumba yang meningkat naik, Muhd. Adiq Husainie Othman, Nik Mohd. Azwan Zulkifle, Mohd. Zulhilmie Afif Ahmad Zamri, Ahmad Fakhrullah Alias dan dua pelumba simpanan - Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri dan Mohd. Al Ghazali Abd. Hamid.

Skuad wanita pula akan digalas Mardiana Mohd. Radzi, Masziyaton Mohd. Radzi, Suryani Mohamad, Muslihah Salim manakala Nurul Norlizawati Mohd. Sharif dan Zahraa Anuawar sebagai pelumba simpanan.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment