Lebih 20,000 isteri pengerusi dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Terengganu akan diberi bimbingan mengenai kemahiran mendampingi masyarakat setempat pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Datuk Yahya Khatib Mohamad berkata bimbingan dibuat melalui bengkel itu bertujuan mendedahkan peserta cara lebih berkesan bergaul dengan orang ramai.
"Bengkel diberi nama 'Ibu Kampung-Kemahiran Pendampingan Masyarakat' untuk membolehkan para isteri antara lain mengetahui teknik berdamping lebih berkesan dengan anggota masyarakat," katanya selepas majlis perasmian bengkel tersebut untuk kawasan Parlimen Marang di semalam.
Katanya, di peringkat permulaan bengkel diadakan di daerah Marang sebelum diteruskan ke semua daerah di negeri ini.
Yahya berkata bengkel dapat membina keupayaan, keyakinan serta jati diri peserta bergandingan para suami sebagai pemimpin setempat selain mengiktiraf peranan wanita dalam masyarakat.
"JKKK menjadi pihak utama di sesebuah kampung dan isteri anggota jawatankuasa bertindak sebagai nadi menilai sejauh mana keberkesanan tanggungjawab yang dijalankan," katanya.
Beliau berkata para isteri hendaklah berganding bahu menentukan segala masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesai dan diatasi mengikut saluran yang telah disediakan kerajaan.
Menurut Yahya, kos penganjuran bengkel yang akan diadakan di setiap kawasan Parlimen itu seluruhnya dianggarkan antara satu hingga dua juta ringgit menerusi pembiayaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK).
Dalam perkembangan lain, beliau berkata YPK akan membelanjakan RM23.5 juta untuk pelbagai program kemasyarakatan di negeri ini tahun ini.
Katanya antara program yang akan dilaksanakan YPK tahun ini termasuklah program Berbulan Madu, Jasamu Dikenang dan Keluarga Cemerlang.
No comments:
Post a Comment