Friday, February 3, 2012

Jalankan Tugas, Tambahkan Keyakinan Rakyat Kepada BN

Aksi Najib Tun selepas menerima cenderahati selepas majlis Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak meminta semua pihak terutama pemimpin dan wakil rakyat menjalankan tugas sebagai pemimpin dengan sebaik mungkin bagi menambah keyakinan rakyat terhadap parti Barisan Nasional (BN).

“Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa seperti mana kita tahu. Asalkan tidak lewat daripada bulan April 2013. Pada masa sekarang saya sedang turun padang berjumpa dengan rakyat.

“Yang penting sekarang kita jalankan tugas dan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Ini melibatkan semua pemimpin supaya rakyat bertambah keyakinan kepada Barisan Nasional,” kata beliau ketika sidang akhbar sejurus Program Perdana Menteri Bersama Rakyat Dun Rhu Rendang, di Padang Astaka Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, Marang, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Ketua Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad serta Pegawai Penyelaras Dun Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku.

Perdana Menteri berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum memutuskan masa yang sesuai untuk menjalankan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.


Perdana Menteri dan isteri dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu, tiba di tapak program kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki bas dua tingkat.

Dalam program itu, beliau turut menyampaikan replika cek Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada empat Dun dalam Parlimen Marang yang diwakili Adun serta PP Dun masing-masing, kerusi roda kepada 10 penerima, lima unit bot enjin sangkut dan bantuan kebajikan masyarakat.

Sejurus majlis itu, beliau dijadualkan menunaikan solat jumaat di Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu dan menghadiri jamuan rakyat di perkarangan masjid sebaik selesai solat Jumaat yang dijangka dihadiri lebih 3,000 orang.

Pada sebelah petang pula, Perdana Menteri bakal menemui lebih 5,000 masyarakat dalam Dun Batu Buruk di majlis yang bertempat di Sekolah Menengah Seri Budiman, disusuli aktiviti berbasikal dari Hotel Grand Continental ke pasar minggu di Taman Syahbandar bersama pemimpin parti dan Pemuda Umno.

Manakala malamnya, satu perjumpaan tertutup dengan pemimpin kanan parti BN serta Umno Perhubungan Terengganu yang melibatkan empat peringkat (Wanita, Pemuda, Puteri) dijadualkan di Hotel Primula Beach Resort.

No comments:

Post a Comment