Kerajaan negeri diminta campur tangan bagi memastikan Yayasan Terengganu tidak menghentikan operasi Institut Kemahiran TREFound Educare (TE) di Kuala Terengganu.
Setiausaha Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, penutupan TE yang merupakan sebuah pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia adalah langkah kebelakang dan tidak selari dengan pendekatan kerajaan negeri dan Pusat.
Katanya, TE yang menawarkan kursus berkaitan sistem maklumat dan komputer telah sedekad beroperasi dan menjadi wadah dalam menyediakan peluang kedua kepada pelajar yang meminati bidang kemahiran.
‘‘Apatah lagi Kementerian Sumber Manusia dalam proses untuk mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam supaya Diploma Kemahiran Malaysia diiktiraf setaraf dengan aliran akademik.
‘‘Komitmen kerajaan terhadap bidang kemahiran ini juga diserlahkan dengan langkah menaik taraf sebahagian sekolah teknik sebagai kolej vokasional mulai tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.
Semalam sebahagian daripada 117 pelajar TE cuba mendapatkan penjelasan daripada Yayasan Terengganu berhubung kelulusan pinjaman mereka yang akan dibayar dalam bentuk elaun sebanyak RM250 sebulan.
Mereka juga mempersoalkan mengapa 45 pelajar tahap 4 belum menerima komputer riba percuma seperti dijanjikan dalam terma dan syarat kemasukan.
Utusan Malaysia difahamkan pada akhir 2010 Yayasan Terengganu memutuskan untuk menghentikan operasi apabila semua pelajar di institusi tersebut menamatkan pengajian masing-masing.
Bagaimanapun ia tidak dimaklumkan secara rasmi kepada pengurusan TE sehingga menyebabkan institut latihan tersebut membuat pengambilan baru bagi sesi Februari, April dan Julai tahun lalu.
Yayasan Terengganu juga dilaporkan masih belum memberi jawapan kepada permohonan pinjaman 132 pelajar yang kini berada pada tahap 2 dan 3.
Syed Anuar berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjejaskan operasi TE yang masih berfungsi melatih pelajar.
‘‘Sebarang masalah antara pihak yayasan dan TE seharusnya diselesaikan dan jangan menjadikan pelajar sebagai mangsa serta mencemarkan imej kerajaan,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment