Tuesday, February 28, 2012

Kecederaan Semalam Bangkit Semangat Mohd Harrif Raih Podium

Pelumba Terengganu, Harrif Salleh (dua kiri) memecut ke garisan penamat pada perlumbaan peringkat keempat Le Tour de Langkawi dari Batu Pahat ke Muar, di Muar, Johor. Turut kelihatan Anuar Manan dari pasukan Champion System (kanan).

Pelumba yang mewakili pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh mula menunjukkan belang pada Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam.

Kecederaan yang dialami pelumba negara, Mohd Harrif semalam sedikitpun tidak menggugat beliau untuk melakukan henjutan bertenaga di garisan penamat pada peringkat keempat perlumbaan.

Akibat daripada kemalangan yang berlaku kira-kira 300m sebelum garisan penamat itu, tapak tangan kanan Mohd Harrif, 24, terkoyak dan kaki kirinya luka.

"Sememangnya, saya sasarkan kemenangan semalam tetapi saya jatuh dan hilang fokus dan hari ini saya azam untuk lakukan yang terbaik. Kalau hendak diikutkan, luka di tangan saya masih belum dijahit dan ia masih lagi sakit. Masa dalam perlumbaan pun saya masih rasa sakit dan minta pasukan perubatan untuk meletak ubat.

"Saya berterima kasih kepada abang saya, Mohd Zamri, yang tolong membawa saya dari belakang. Saya berpuas hati dengan perlumbaan hari ini. Mungkin esok sukar bagi saya dan saya perlu buat yang terbaik hari ini (semalam)," kata Harrif.

Mohd Harrif muncul pelumba terbaik Malaysia Isnin yang menamatkan perlumbaan peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar sejauh 169.4 kilometer, di kedudukan ketiga, di belakang Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Selle Italia, yang mencipta hatrik memenangi tiga peringkat perlumbaan berturut-turut pada edisi kali ini.

Lebih manis, kejayaan bermakna Harrif itu turut dikongsi bersama ibunya, Esah Abdullah yang setia memberi sokongan kepada anaknya itu sepanjang perlumbaan LTdL 2012.

"Gembira sekali kerana akhirnya berjaya juga menaiki podium. Meskipun hanya di tempat ketiga, tetapi saya tetap puas hati.

"Berada di tempat ketiga pun sudah cukup bagus bagi saya," jelas Harrif yang menerima ciuman tahniah daripada ibunya, Esah semalam.

Dalam saingan semalam, Harrif berjaya mengekalkan kedudukannya dalam peloton hadapan meskipun terdapat beberapa percubaan breakaway daripada pelumba Garmin Barracuda, Tom Danielson dan Andrea Guardini daripada pasukan Farnese Vini Sella Italia.

Begitupun, kira-kira satu kilometer terakhir, Guardini yang memenangi peringkat kedua dan ketiga sebelum ini, jelas sukar dihalang dan terlebih dahulu melintasi garisan penamat bagi merakamkan kemenangan ketiganya berturut-turut.

"Guardini sememangnya seorang pelumba yang hebat. Dia sungguh laju dan amat sukar untuk mengatasinya yang mendapat bantuan secukupnya daripada rakan sepasukan.

"Namun apa pun saya tetap akan cuba mengatasinya esok (peringkat keempat hari ini) dan membuktikan bahawa pelumba Malaysia juga mampu bersaing dengan mereka.

"Harapnya kejayaan podium ini juga mampu memberi suntikan semangat dalam misi saya untuk memenangi satu peringkat perlumbaan pada LTdL ini," ujarnya yang cedera di bahagian lutut dan tapak tangannya ekoran terjatuh pada perlumbaan peringkat ketiga kelmarin.

Peringkat kelima hari ini akan bermula dari Ayer Keroh ke Pandan Indah, Ampang sejauh 190km melibatkan tiga zon pecutan (Tampin - Km 31.3, Chembong - Km 54.8 dan Senawang - Km 75.7) serta tiga zon pendakian (Bukit Tangga - Km 101.9), Genting Perez - Km 148.8 dan Bukit Tinjau - Km 180.2).

No comments:

Post a Comment