Wednesday, February 29, 2012

Arkib Negara Senarai Koleksi Terbaru Untuk Rujukan Umum

Arkib Negara Selasa menyenaraikan tiga koleksi perolehan terbaru yang kini dibuka untuk rujukan umum terutama bagi golongan akademik, penyelidik dan penuntut institusi pengajian tinggi.

Tiga koleksi itu ialah senarai kumpulan bahan/rekod yang telah mencapai taraf arkib iaitu berusia 25 tahun, deskripsi kumpulan rekod terperingkat yang turun taraf daripada sulit kepada terbuka dan koleksi surat khabar yang diterbitkan di luar negara tetapi mengandungi berita mengenai Malaysia.

Ketua Pengarah Arkib Negara Daresah Ismail berkata sebanyak 347 kumpulan rekod yang mengandungi 3,878 fail kini bertaraf arkib antaranya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (1986-1992), Kementerian Luar (1773-2001) dan Kementerian Kesihatan (1955-1987).

Bagi deskripsi rekod terperingkat yang diturun taraf daripada sulit kepada terbuka pula, Daresah berkata terdapat enam kategori rekod yang telah dibuka untuk rujukan.

Rekod itu melibatkan Pejabat Residen British Pahang (1888-1995), Pejabat Penasihat British, Kelantan (1917-1939), Pejabat Penasihat British, Terengganu (1935-1936), Jabatan Perdana Menteri (1946-1949) dan Jabatan Pertanian Malaysia (Perikanan) (1946-1966), katanya pada sidang media di Kuala Lumpur semalam.

No comments:

Post a Comment