Thursday, February 2, 2012

Kecurian SSMZA - Harapkah Pagar, Pagar Makan Padi?

Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, sepatutnya kejadian kecurian peralatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tidak berlaku kerana pengawal-pengawal keselamatan telah ditempatkan di situ.

"Tidak tahulah...takut harapkan pagar, pagar makan padi," katanya.

Ahmad Said berkata kemungkinan juga pengawal tidak menjalankan tugasnya dengan sempurna menyebabkan pencuri dapat masuk dan mengambil peralatan yang ada di stadium itu.

“Sepatutnya perkara berkenaan tidak berlaku kerana stadium berkenaan ada pengawal keselamatan sepanjang masa atau pegawal bertugas tidak buat rondaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sekarang dalam proses menukar syarikat pengawal keselamatan di stadium itu.

Sebuah syarikat sekuriti baru akan dilantik untuk mengawal keselamatan stadium berkenaan bagi menggantikan syarikat sebelum ini yang telah tamat tempoh kontrak pada akhir tahun lalu.

“Tender baru telah dibuka pada November lalu dan kita sedang meneliti pelbagai aspek sebelum membuat pelantikan baru,” katanya, kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman semalam.

Dalam perkembangan lain, Menteri Besar memaklumkan tender baru akan dikeluarkan untuk kerja-kerja memecat bumbung stadium bersebelahan bumbung yang runtuh untuk diganti baru.

“Kalau boleh kita mahu percepatkan kerja-kerja membaikpulih stadium berkenaan tetapi ia bergantung kepada keputusan jawatankuasa dalam memilih kontraktor yang layak, setakat ini ia belum selesai lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment